Gempa bumi sederhana landa Yogyakarta tengah hari tadi

Sebelum ini, BMKG merekodkan gempa di Yogyakarta pada magnitud 4.4 sebelum dikemas kini kepada 4.5. - Foto BMKG
KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi bermagnitud 4.5 berlaku di daerah Bantul di Yogyakarta, Indonesia kira-kira jam 1.15 hari ini Waktu Indonesia Barat (WIB).
Menurut Jabatan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG), pusat gempa dikesan pada koordinat 7.87 darjah Lintang Selatan dan 110.49 darjah Bujur Timur, dengan kedalaman 11 kilometer di daerah terbabit.
Media tempatan turut melaporkan kejadian gempa tersebut tidak berpotensi menyebabkan berlaku tsunami.
Ketua Stesyen Geofizik daerah Sleman, Ardhianto Septiadhi mengesahkan kepada portal detikJogja hari ini bahawa tiada kerosakan dilaporkan akibat kejadian gempa itu.
BMKG turut merekodkan satu gegaran kecil bermagnitud 2.1 berlaku 16 kilometer barat laut Gunungkidul di daerah yang sama pada kedalaman 16 kilometer pada jam 1.10 WIB yang disifatkan ringan.
Namun pada jam 8.20 pagi WIB, BMKG merekodkan gegaran lebih kuat iaitu gempa bermagnitud 5.5 di 25 kilometer timur laut Pacitan, Jawa Timur, pada kedalaman 105 kilometer.
Gegaran gempa ini turut dirasakan di beberapa wilayah di Yogyakarta dan Jawa Tengah.
Dalam kenyataannya BMKG menjelaskan maklumat tersebut disampaikan bagi tujuan penyebaran pantas kepada orang ramai dan tertakluk kepada perubahan semasa.
“Maklumat ini mengutamakan kelajuan, justeru data masih belum stabil dan boleh berubah,” menurut BMKG di X hari ini.
Pengguna media sosial turut melahirkan rasa cemas selepas gempa dirasai hampir dua kali pada hari yang sama.
“Hari ini sudah terasa gempa sebanyak dua kali, semoga semua selamat,” kata @Willowstory9597 di X.
Malah, terdapat pengguna X memaklumkan bahawa kejadian itu menyebabkan bekalan elektrik terputus ketika hujan lebat melanda kawasan berkenaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


