INTERNATIONAL
Gempa Myanmar: Ibu cerita pengalaman lahir anak di Hospital Bangkok semasa gempa

Kanthong dan suami memutuskan untuk tidak memberi nama yang berkaitan dengan gempa bumi tersebut. - REUTERS
SEORANG wanita menceritakan pengalaman melahirkan anak di sebuah hospital di Bangkok semasa gegaran kuat akibat gempa bumi melanda Myanmar pada Jumaat.
Kanthong Saenmuangshin, 36 tahun, datang ke hospital untuk pemeriksaan rutin bersalin ketika gegaran berlaku.
Dia ketika itu sudah mula berasa sakit untuk bersalin.
"Petugas perubatan memegang kedua-dua lengan saya ketika kami menuruni tangga (untuk berpindah)," katanya, mengenang kejadian di Hospital Besar Polis, yang terletak di tingkat lima bangunan tersebut."Saya memberitahu bayi (dalam kandungan) saya, jangan keluar lagi. Tetapi kesakitan itu terus meningkat." ceritanya lagi.
Kanthong akhirnya diletakkan di atas katil hospital dan melahirkan bayi perempuan di tengah-tengah gegaran.
Katanya, bumi berhenti bergegar sebaik bayi itu dilahirkan.
Walaupun bayi itu masih belum diberi nama rasmi, dia memanggil anaknya itu dengan nama panggilan "Mink".
Dia dan suami memutuskan untuk tidak memberi nama yang berkaitan dengan gempa bumi tersebut.
Gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter yang berlaku di Myanmar pada Jumaat merupakan antara yang terbesar di negara itu dalam abad ini, dan gegarannya turut dirasai di pelbagai tempat di Thailand, termasuk ibu kota, Bangkok.
Beberapa hospital di seluruh Thailand terpaksa dipindahkan akibat gegaran tersebut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami