TEHRAN: Gempa bumi sederhana berukuran 5.0 pada skala Richter melanda kawasan Saland di wilayah Khuzestan, barat daya Iran.
Menurut penyiar rasmi IRIB yang memetik kenyataan Persatuan Bulan Sabit Merah Iran, gempa itu berlaku pada kedalaman kira-kira 12 kilometer.
Susulan kejadian, dua pasukan penyelamat digerakkan ke beberapa perkampungan berhampiran pusat gempa bagi menilai tahap kerosakan yang berlaku.
Setakat ini, pihak berkuasa tempatan belum mengeluarkan sebarang laporan rasmi mengenai kerosakan harta benda atau korban jiwa akibat kejadian itu.
Wilayah Khuzestan dan beberapa kawasan lain di Iran sering berdepan aktiviti seismik kerana kedudukannya berhampiran beberapa garisan sesar geologi aktif.