MANDALAY: Selepas genap sebulan Myanmar dilanda gempa bumi paling dahsyat dalam lebih satu abad, ribuan mangsa masih berlindung di khemah sementara di beberapa lokasi di negara itu.

Gempa bumi berukuran 7.7 skala Richter merupakan gegaran terkuat di Myanmar sejak tahun 1912, sehingga mengorbankan hampir 3,800 orang.

Kemusnahan paling teruk tertumpu di bandar kedua terpadat, Mandalay, di mana bangunan kediaman, restoran, hotel dan rumah ibadah musnah atau rosak teruk.

Dengan puluhan ribu orang masih tiada tempat tinggal menjelang musim monsun, agensi bantuan memberi amaran mengenai cabaran besar yang dijangka menyusul.

Ketua Persekutuan Palang Merah Antarabangsa (IFRC), Myanmar, Nadia Khoury berkata, orang ramai amat bimbang dengan apa yang akan berlaku dalam beberapa minggu akan datang.

Ini kerana mereka bukan hanya terhimpit dengan impak bencana, Myanmar juga berdepan dengan serangan ketenteraan yang berlarutan meskipun terdapat gencatan senjata.

Junta yang mencetuskan perang saudara selepas rampasan kuasa 2021, mengisytiharkan gencatan senjata untuk mempercepatkan usaha bantuan bermula 2 April lalu.

Namun, pemantau dari pusat ketahanan maklumat yang berpangkalan di Britain mencatatkan 65 serangan udara oleh junta.

Penduduk mendakwa, serangan pada Rabu lalu mengorbankan lima nyawa dan mencederakan lapan yang lain di sebuah kampung di pinggir bandar Tabayin.

Di timur Myanmar, penduduk melaporkan mereka terpaksa meninggalkan rumah akibat serangan kumpulan bersenjata yang cuba merampas bandar di laluan perdagangan menguntungkan ke Thailand semasa gencatan senjata berlangsung.

Selepas empat tahun konflik, separuh daripada populasi hidup dalam kemiskinan dan 3.5 juta orang dipindahkan sebelum gempa tersebut.