Skip to main content

Dunia

Gencatan senjata Israel-Lubnan beri kelegaan sementara, penduduk tuntut pengunduran penuh

Hawraa Houmani, sits next to her husband Ahmed and their children, Ali and Haidar in a school now used as a temporary shelter for displaced people amid escalating hostilities between Israel and Hezbollah, as the U.S.-Israel conflict with Iran continues, in Beirut, Lebanon, March 27, 2026. REUTERS/Emilie Madi
Mustafa Ibrahim al-Sayyed, yang kini berlindung bersama keluarganya di sebuah sekolah di Tyre selepas melarikan diri dari kampung Beit Lif di selatan Lubnan, berkata pengumuman gencatan senjata itu memberi sedikit kelegaan namun tidak memenuhi sepenuhnya harapan rakyat. - Foto Reuters

TYRE: Meskipun gencatan senjata selama 10 hari antara Israel dan Lubnan diumumkan bermula Khamis, kegembiraan penduduk yang terkesan akibat konflik berpanjangan itu masih dianggap belum lengkap selagi tentera Israel tidak berundur sepenuhnya dari selatan Lubnan.

Mustafa Ibrahim al-Sayyed, yang kini berlindung bersama keluarganya di sebuah sekolah di Tyre selepas melarikan diri dari kampung Beit Lif di selatan Lubnan, berkata pengumuman gencatan senjata itu memberi sedikit kelegaan namun tidak memenuhi sepenuhnya harapan rakyat.

Advertisement

“Apa yang kami mahukan ialah perang dihentikan sepenuhnya dengan pengunduran penuh Israel dari selatan Lubnan,” katanya.

Amerika Syarikat menerusi Jabatan Negara memaklumkan bahawa Israel dan Lubnan bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama 10 hari bermula jam 5 petang waktu Timur Amerika Syarikat (2100 GMT) pada Khamis bagi membuka ruang rundingan ke arah perjanjian keselamatan dan keamanan kekal.

Menurut kenyataan itu, tempoh gencatan senjata tersebut boleh dilanjutkan sekiranya dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam satu kenyataan video berkata beliau telah bersetuju dengan gencatan senjata selama 10 hari itu dan melihat peluang untuk mencapai satu perjanjian bersejarah dengan Lubnan.

Bagaimanapun, masih timbul keraguan mengenai sejauh mana gencatan senjata itu mampu bertahan susulan ketegangan berpanjangan antara Israel dan kumpulan Hizbollah.

Netanyahu berkata beliau tidak bersetuju dengan tuntutan Hizbollah agar tentera Israel berundur ke sempadan antarabangsa Lubnan-Israel, dan sebaliknya menegaskan Israel akan mengekalkan zon keselamatan yang luas di selatan Lubnan sehingga ke sempadan Syria.

Konflik yang tercetus sejak 2 Mac lalu telah mengorbankan lebih 2,100 nyawa di Lubnan akibat serangan Israel serta memaksa lebih 1.2 juta penduduk meninggalkan kediaman mereka.

Must Watch Video