KUALA LUMPUR: Industri penerbangan bukan sekadar menghubungkan penumpang dari satu destinasi ke destinasi lain, malah turut menjadi pemacu pelancongan, perdagangan, peluang pekerjaan serta penyumbang penting kepada aliran pertukaran asing negara.
Setiap ketibaan pelancong ke Malaysia membawa kesan berganda kepada ekonomi dengan sektor seperti perhotelan, restoran, pengangkutan dan peruncitan bergerak seiring.
Pada masa sama, penerbangan menjadi tulang belakang perdagangan bernilai tinggi dan rantaian bekalan global.
Namun, konflik di Asia Barat khususnya perang Iran telah mengubah landskap penerbangan global apabila gangguan ruang udara, laluan yang lebih panjang serta peningkatan kos operasi mula memberi tekanan kepada industri.
Pengasas firma perundingan penerbangan Endau Analytics, Shukor Yusof, menyifatkan situasi semasa sebagai tekanan besar yang menjejaskan struktur sistem penerbangan.
“Industri penerbangan bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia waktu ini menghadapi tekanan yang amat berat dan berterusan akibat krisis bahan minyak jet yang telah tercetus akibat peperangan di Iran.
“Jadi pada waktu ini saya boleh tafsirkan bahawa struktur penerbangan di Malaysia dan juga di rantau ini boleh dikatakan retak ataupun fractured disebabkan harga minyak yang sangat-sangat mahal menyebabkan keadaan yang tidak seimbang di pasaran,” katanya.
Menurut beliau, harga minyak mentah yang sebelum ini berada sekitar AS$60 hingga AS$70 setong melonjak dengan ketara selepas konflik tercetus.
“Sebelum 28 Februari lebih kurang AS$60-AS$70 setong, namun apabila peperangan tercetus di Iran maka dengan serta-merta harga itu melonjak lebih daripada AS$80-AS$90.
“Untuk hari pertama, hari kedua dan terus melambung lagi dengan berterusan di mana kita lihat sekarang ini harga minyak mentah lebih kurang AS$107, AS$108 malah mencecah AS$110 setong... dan ini minyak mentah... jadi yang digunakan oleh syarikat-syarikat penerbangan ialah jet fuel ataupun minyak bahan api jet,” tambahnya.
Beliau turut menjelaskan jurang harga antara minyak mentah dan bahan api jet kini meningkat dengan ketara berbanding sebelum konflik.
“Krisis ini telah menunjukkan crack spread itu telah lebih meluas.
“Dan sekarang ini, hingga 100 peratus. Hampir 100 peratus, ataupun lebih. Ia sangat volatile, dia setiap hari berubah.
“Jadi, kita ambil secara aggregate, ia lebih 100 peratus. Lebih dua kali ganda,” jelasnya.
Dalam masa sama, mantan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Datuk Izham Ismail, menerusi pandangannya yang diterbitkan oleh The Edge menegaskan bahawa penerbangan bukan sekadar industri komersial tetapi merupakan infrastruktur strategik negara.
Menurut beliau, sektor itu menghubungkan Malaysia dengan ekonomi global serta memastikan aliran perdagangan, rantaian bekalan dan pergerakan modal terus berjalan.
Sehubungan itu, tekanan kos yang dihadapi industri penerbangan tidak boleh dilihat sebagai isu operasi semata-mata kerana kesannya boleh melangkaui lapangan terbang dan menjejaskan daya saing pelancongan, meningkatkan kos perdagangan serta menghakis keyakinan pelabur terhadap kestabilan ekonomi negara.
Dalam keadaan ketidaktentuan global yang berterusan, persoalan utama yang timbul ialah siapa yang seharusnya menyerap kejutan kos ini serta apakah pilihan dasar yang realistik bagi memastikan Malaysia kekal terhubung, berdaya tahan dan kompetitif, katanya.