Skip to main content

Malaysia

Takrif kemudaratan dalam talian akan diperluas- Fahmi

PUTRAJAYA, 8 Jun -- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hadir ke Sesi Persidangan Meja Bulat Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab Mengenai Tingkah Laku Bunuh Diri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.  Turut hadir, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.  --fotoBERNAMA
Fahmi menghadiri Sesi Meja Bulat Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab Mengenai Tingkah Laku Bunuh Diri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin. - Foto Bernama

PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi sedang meneliti peluasan takrif kemudaratan dalam talian bagi merangkumi kandungan sensitif termasuk rakaman kamera papan pemuka kemalangan (dashcam) yang sering tersebar di media sosial.

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu dibuat susulan kebimbangan terhadap penyebaran rakaman tidak ditapis yang boleh memberi kesan kepada mangsa dan keluarga serta mengganggu aspek siasatan.

“Kita di pihak Kementerian Komunikasi, khusus melalui MCMC, takrif kemudaratan dalam talian itu kita nak lebar dan luaskan termasuk kepada kandungan yang mungkin bersifat gory, gambar kemalangan.

“Sebab banyak orang kadangkala mereka menyebarkan dashcam recording. Pertama, kepada mangsa dan keluarga mangsa, saya rasa ramai beranggapan we should give them privacy dan kita patut menghormati, dan yang kedua aspek-aspek siasatan,” katanya kepada media selepas menghadiri Sesi Meja Bulat Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab Mengenai Tingkah Laku Bunuh Diri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin.

Mengulas insiden kemalangan yang mengorbankan enam sekeluarga di Pinang Tunggal, dekat Sungai Petani, pada Ahad, Fahmi berkata terdapat keperluan untuk memperkukuh kerjasama dengan platform media sosial bagi memastikan tindakan segera diambil terhadap kandungan seumpama itu.

“Insiden terkini di Kedah yang melibatkan kematian enam ahli keluarga, kita boleh lihat rakaman dashcam itu. Bayangkan untuk keluarga melihat perkara ini secara tidak ditapis.

“Saya harap Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian (JKDT) dapat memberi pertimbangan dan menjemput pihak platform yang berwajib untuk mengambil tindakan yang bersesuaian. Kita mahu platform-platform sendiri mengambil tindakan segera untuk mengurangkan sebaran kandungan seperti ini,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement