GENEVA: Geneva berada dalam keadaan siap siaga menjelang protes besar yang dijangka disertai sehingga 50,000 penunjuk perasaan pada Ahad susulan Sidang Kemuncak G7 di Evian, Perancis, menurut polis.
Protes itu dianjurkan oleh gabungan No G7 yang terdiri daripada beberapa puluh kumpulan, lapor agensi berita Jerman dpa.
Kerajaan bandar Geneva berkata demonstrasi itu diadakan di Geneva selepas Perancis enggan mengeluarkan permit bagi sebarang protes berhampiran lokasi sidang kemuncak G7, sambil mengkritik keputusan berkenaan.
Geneva terletak kira-kira 50 kilometer di barat daya Evian.
Lapangan Terbang Geneva juga akan menjadi lokasi ketibaan pemimpin yang menghadiri sidang kemuncak itu bersama delegasi masing-masing pada Isnin kerana ia merupakan lapangan terbang paling hampir dengan lokasi berkenaan.
Pusat bandar Geneva juga berada dalam keadaan berjaga-jaga sejak beberapa hari lalu apabila ratusan kedai mewah, bank, hotel dan pasar raya memasang papan lapis pada bahagian hadapan bangunan serta tingkap premis berikutan kebimbangan terhadap kemungkinan berlaku kekacauan.
Semasa sidang kemuncak di Evian pada 2003, perusuh memecahkan tingkap, merompak kedai dan menyebabkan kerugian mencecah jutaan euro.
-- BERNAMA-dpa