Skip to main content

Dunia

Gerakan anak muda ‘Cockroach’ India anjur bantahan, desak Menteri Pendidikan letak jawatan

Abhijeet Dipke, head of the Cockroach Janta Party (CJP), leaves after attending a sit-in protest demanding the resignation of Indian Education Minister Dharmendra Pradhan, in New Delhi, India, June 6, 2026. REUTERS/Adnan Abidi
Abhijeet Dipke, ketua CJP, ketika menghadiri bantahan duduk bagi menuntut peletakan jawatan Menteri Pendidikan India, Dharmendra Pradhan, di New Delhi. - Foto REUTERS

NEW DELHI: Sebuah gerakan anak muda dikenali sebagai 'Cockroach Janta Party' (CJP) mengadakan bantahan besar pertama mereka di ibu negara India dengan mendesak Menteri Pendidikan, Dharmendra Pradhan, meletakkan jawatan.

Bantahan yang berlangsung di lokasi ikonik Jantar Mantar pada Sabtu itu disertai ratusan pelajar, golongan muda dan ibu bapa yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap isu berkaitan sistem pendidikan negara.

Gerakan yang bermula sebagai kumpulan satira di media sosial itu kini berkembang pesat dan berjaya menarik jutaan pengikut dalam tempoh singkat, sekali gus menjadi antara platform utama golongan muda untuk menzahirkan ketidakpuasan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi.

Pengasasnya, Abhijeet Dipke, 30, yang pulang dari Amerika Syarikat, mengetuai bantahan tersebut sambil menyeru perubahan dalam sistem pendidikan dan akauntabiliti kepimpinan.

Menurut penganjur, antara tuntutan utama mereka ialah peletakan jawatan Menteri Pendidikan susulan dakwaan kebocoran kertas peperiksaan dan kelemahan dalam pengurusan sistem peperiksaan nasional seperti NEET serta penilaian peperiksaan sekolah.

Peserta bantahan turut membawa sepanduk dan melaungkan slogan menuntut reformasi pendidikan, sambil menegaskan bahawa ketelusan dan integriti peperiksaan amat penting kerana ia menentukan masa depan jutaan pelajar di negara itu.

Pihak berkuasa meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar ibu negara, dengan lebih 1,000 anggota polis dikerahkan bagi memastikan keadaan terkawal sepanjang demonstrasi berlangsung.

Gerakan tersebut mencerminkan keresahan dalam kalangan generasi muda India, khususnya berkaitan kadar pengangguran belia yang masih tinggi serta cabaran mendapatkan pekerjaan dalam ekonomi yang semakin kompetitif.

India mempunyai hampir 400 juta penduduk berusia antara 15 hingga 29 tahun, menjadikan penciptaan peluang pekerjaan dan kestabilan sistem pendidikan antara isu paling kritikal bagi kerajaan ketika ini.

Walaupun bermula sebagai gerakan media sosial yang bersifat sindiran, kebangkitan CJP kini dilihat sebagai manifestasi sebenar suara generasi muda yang menuntut perubahan, sekali gus berpotensi mempengaruhi landskap politik dan sosial negara itu pada masa hadapan.
 

 

Must Watch Video

Advertisement