ISTANBUL: Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu menggesa rakyatnya mempertimbangkan untuk meninggalkan Asia Barat sekiranya ketegangan dan pertempuran di rantau itu terus memuncak, lapor Anadolu Ajansi.
Nasihat itu disampaikan menerusi amaran keselamatan yang dikeluarkan Kedutaan AS di Jordan dan Iraq serta Konsulat Jeneral AS di Erbil, utara Iraq.
"Rakyat Amerika yang kini berada di Asia Barat perlu berwaspada dan meningkatkan tahap kewaspadaan serta bersedia menghadapi pembatalan penerbangan, penutupan ruang udara secara berkala dan kemungkinan gangguan perjalanan," menurut kenyataan kedutaan yang disiarkan di platform media sosial X.
Mereka turut menasihati rakyat Amerika di luar Asia Barat supaya "menimbang semula secara serius perjalanan ke rantau itu dan melalui rantau berkenaan".
Kedutaan terbabit memberi amaran bahawa "Iran dan kumpulan yang menyokong Iran mungkin menyasarkan kepentingan AS di luar negara", sambil menyifatkan situasi di Asia Barat sebagai "masih berubah-ubah".
"Kedutaan AS di Amman menasihati semua rakyat Amerika supaya mengelakkan perjalanan ke pangkalan tentera di Jordan," menurut Kedutaan AS di ibu negara Jordan itu, sambil menggesa rakyatnya memantau amaran rasmi dan mematuhi arahan pihak berkuasa Jordan.
Amaran itu dikeluarkan ketika ketegangan dan pertempuran antara AS dan Iran semakin memuncak susulan laporan CBS News yang memetik pegawai sebagai berkata Washington sedang merancang serangan baharu ke atas Iran hujung minggu ini.
Terdahulu pada Sabtu, Kuwait memaklumkan bahawa pihaknya memintas dron Iran yang menyasarkan sebuah kemudahan kerajaan dan kenderaan awam, manakala sebuah kapal tangki dihentam objek tidak dikenali di perairan Oman berhampiran Selat Hormuz.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kedua-dua insiden itu.
-- BERNAMA-ANADOLU