Skip to main content

Politik

[TERKINI] PRN Melaka: Ab Rauf, isteri selesai mengundi, seru pengundi keluar awal

Selepas selesai mengundi, Ab Rauf meluangkan masa beramah mesra dengan pengundi dan orang ramai yang berada di pusat mengundi berkenaan. - Astro AWANI
Selepas selesai mengundi, Ab Rauf meluangkan masa beramah mesra dengan pengundi dan orang ramai yang berada di pusat mengundi berkenaan. - Astro AWANI

Ringkasan AI

  • Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan Jeram bersama isterinya pagi ini.
  • Beliau menghargai kelancaran proses pengundian yang dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya dan menggesa pengundi keluar awal kerana ramalan hujan petang.
  • Lebih 500 pengundi hadir di SK Jeram setakat pagi, dengan DUN Tanjung Bidara menyaksikan saingan satu lawan satu antara Ab Rauf dan calon Pakatan Harapan.
Advertisement

MASJID TANAH: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama isterinya, Datin Seri Zuriyah Abd Aziz, selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, di sini, pagi ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka yang juga calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara itu tiba di pusat mengundi berkenaan kira-kira 8.15 pagi sebelum membuang undi sekitar 8.35 pagi.

Selepas selesai mengundi, beliau meluangkan masa beramah mesra dengan pengundi dan orang ramai yang berada di pusat mengundi berkenaan.

Advertisement

Ab Rauf ketika ditemui media berkata, beliau bersyukur kerana dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia serta menggunakan hak mengundi di kawasan berkenaan.

"Alhamdulillah, pagi ini saya telah menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia untuk diberi hak mengundi di Sekolah Kebangsaan Jeram ini," katanya kepada pemberita.

Advertisement

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang disifatkannya menjalankan tugas dengan teratur, sekali gus memudahkan urusan pengundi.

"Saya lihat tugas yang dijalankan oleh pegawai-pegawai SPR memang nampak teratur dan ketertibannya tidak menyusahkan pengundi yang datang kerana ini adalah satu usaha terbaik bagi memudahkan rakyat datang mengundi," ujarnya.

Dalam pada itu, Ab Rauf menggesa pengundi yang masih belum keluar menunaikan tanggungjawab supaya berbuat demikian pada sebelah pagi berikutan ramalan cuaca menunjukkan kemungkinan hujan pada sebelah petang.

Mengulas mengenai jumlah kehadiran pengundi setakat pagi ini, beliau berkata lebih 500 orang telah hadir mengundi di Pusat Mengundi SK Jeram.

Pusat Mengundi SK Jeram mempunyai 1,866 pengundi, dengan tiga saluran dibuka.

Bagi PRN Melaka ke-16, DUN Tanjung Bidara mempunyai seramai 15,003 pengundi berdaftar.

DUN Tanjung Bidara menyaksikan saingan satu lawan satu antara Ab Rauf Yusoh, yang juga Ketua Menteri Melaka dan Calon Pakatan Harapan (PH)  Bidara, Yunazri Mustamiri.

 

 

Must Watch Video

Advertisement