ATHENS: Pihak berkuasa Greece mengisytiharkan darurat di perbandaran Agios Vasileios, Rethymno, di selatan Pulau Crete serta memindahkan kira-kira 8,000 penduduk dan pelancong ketika kebakaran hutan terus marak di pulau itu pada Khamis, lapor Xinhua.
Kebakaran di Rethymno, selatan Crete, menjadi kejadian paling kritikal yang masih aktif di Greece sejak beberapa hari kebelakangan ini, dengan kawasan kebakaran menjangkau lebih 15 kilometer, menurut penyiar kebangsaan Greece, ERT.
Satu lagi kebakaran tercetus berhampiran Kampung Asomatos di Rethymno sebelum merebak ke arah Preveli, kawasan pesisir di selatan Crete yang terkenal dengan pantai dan tarikan pelancong.
Pada masa sama, anggota bomba terus berusaha mengawal kebakaran di Agios Vasileios.
Angin kencang dengan kelajuan sehingga 125 kilometer sejam serta jarak penglihatan hampir sifar menjejaskan operasi pemadaman dengan ketara.
Pesawat dan helikopter juga tidak dapat menjalankan operasi pemadaman dari udara berikutan keadaan cuaca ekstrem.
Pihak berkuasa Greece berulang kali mengeluarkan amaran kecemasan supaya penduduk dan pengunjung di kawasan terjejas berpindah.
Kira-kira 700 mangsa ditempatkan semalaman di sebuah dewan sukan tertutup, manakala ramai lagi berlindung di rumah saudara-mara atau rakan. Pelancong pula dipindahkan ke hotel di kawasan yang tidak terjejas.
Dalam operasi pemindahan melalui laut, seramai 51 orang diselamatkan dari kawasan pesisir Preveli dalam keadaan cuaca buruk.
Mereka dibawa ke Agia Galini, sebuah pekan di selatan Crete, menggunakan kapal peronda Pengawal Pantai Greece dengan bantuan dua bot persendirian.
Lebih 190 anggota bomba, dibantu jentera bomba, pasukan khusus pemadaman kebakaran hutan, pihak berkuasa tempatan dan sukarelawan, dikerahkan ke beberapa lokasi kebakaran.
Bagaimanapun, angin kencang terus menyukarkan usaha mengawal kebakaran.
Kebakaran itu turut merosakkan tanah pertanian, kawasan tanaman, padang ragut, kediaman dan ternakan.
Siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran masih dijalankan, manakala Crete kekal berada pada tahap risiko kebakaran hutan yang sangat tinggi berikutan angin kencang yang dijangka berterusan.
-- BERNAMA-XINHUA