Greenland syurga sumber alam semula jadi

Orang ramai mengadakan protes membantah tuntutan Trump supaya pulau Artik itu diserahkan kepada AS, di Nuuk, Greenland, 17 Jan 2026. - Gambar fail/REUTERS
GREENLAND memiliki beberapa rizab unsur nadir bumi (REE) yang belum diterokai yang merupakan mineral penting untuk teknologi moden, peralihan kepada tenaga bersih dan sistem pertahanan.
Ringkasan AI
- Greenland memiliki rizab unsur nadir bumi (REE) yang penting untuk teknologi moden dan pertahanan, dengan kandungan neodimium dan terbium yang vital untuk peranti harian seperti telefon pintar.
- Presiden AS, Donald Trump, berminat 'menakluk' Greenland untuk memanfaatkan bekalan REE bagi bersaing dengan China yang mendominasi bekalan dunia hingga 2025.
- Greenland juga menarik minat strategik disebabkan pencairan ais yang membolehkan laluan perkapalan utara yang lebih ekonomi, serta peningkatan minat China dan AS dalam memperluas pengaruh di kawasan Artik.
Kesemua logam tersebut mempunyai nama yang kedengaran eksotik seperti terbium dan neodimium yang amat penting untuk pelbagai teknologi harian seperti telefon pintar serta televisyen.
Niat sebenar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk ‘menakluk’ Greenland adalah bagi memanfaatkan bekalan REE sebagai sebahagian usaha untuk menyaingi China yang kini mengawal bekalan dunia.
Sehingga 2025, China mendominasi kedua rizab REE dengan memiliki 44 juta tan metrik iaitu separuh daripada bekalan dunia dianggarkan berjumlah 91.9 juta tan metrik.
Laporan Pusat Kajian Geologi AS (USGS) menganggarkan rizab di Greenland berjumlah kira-kira 1.5 juta tan metrik yang dianggap penting untuk penghasilan magnet berprestasi tinggi, bateri kereta elektrik (EV), turbin angin dan peralatan ketenteraan.

Laluan Barat Laut yang lebih hampir dengan pantai Greenland pula dipercayai menjadi tumpuan utama pentadbiran Trump. - Foto Sinar Harian
Syurga REE di Nuuk tertumpu di kawasan selatan terutamanya di tapak Kvanefjeld di perbandaran Kujalleq yang mengandungi simpanan besar neodimium, disprosium dan unsur lain yang mempunyai nilai tinggi kepada industri.
Ringkasnya, REE merupakan tulang belakang tersembunyi dunia yang menyokong kemajuan dunia berteraskan teknologi.
Namun, REE bukanlah satu-satunya sumber semula jadi yang belum diterokai di Nuuk. Terdapat juga mineral lain termasuk berlian, emas, nikel titanium, tungsten dan zink serta rizab minyak dan gas asli.
Walaupun memiliki rizab yang besar, aktiviti perlombongan di Greenland dibatasi pelbagai cabaran logistik berikutan infrastruktur yang terhad, iklim yang mencabar dan penguatkuasaan peraturan alam sekitar yang ketat.
Pada 2021, Parlimen Nuuk meluluskan undang-undang menyekat hasil sampingan uranium yang secara langsung menjejaskan garis masa projek perlombongan utama.
Di persekitaran Artik yang rapuh, aktiviti sedemikian sememangnya membawa risiko besar kerana bahan kimia toksik dan uranium radioaktif yang sering ditemui bersama REE boleh mencetuskan kebocoran radiasi serta pencemaran serius, sekali gus memberi impak kepada keseimbangan ekologi.
Laluan strategik
Selain rizab alam semula jadi, lokasi Greenland dan pencairan ais yang kian meningkat di sekelilingnya turut menarik minat Trump.
Keadaan ais Laut Artik yang mencair mewujudkan lebih banyak peluang menggunakan laluan perkapalan utara, sekali gus membolehkan syarikat logistik menjimatkan jutaan dolar untuk kos bahan api dengan mengambil laluan pendek antara Asia dan Eropah Barat serta AS.
Sebelum ini, Laluan Utara hanya boleh diakses pada bulan-bulan lebih panas. Beberapa laluan utama di Artik kini semakin mudah dilalui termasuk Laluan Laut Utara (NSR) yang mengikuti sempadan utara Rusia sejauh kira-kira lebih 24,000 kilometer dan tidak melalui Greenland.
Rusia dan China telah bersetuju untuk membangunkannya bersama selepas sebuah kapal komersial milik Moscow dibantu kapal pemecah ais pertama kali melintasi NSR ketika musim sejuk pada Februari 2021.
Laluan Barat Laut yang lebih hampir dengan pantai Greenland pula dipercayai menjadi tumpuan utama pentadbiran Trump.
Menurut Institut Artik, laluan Laut Utara boleh menjimatkan kos sehingga 50 peratus berbanding laluan Terusan Suez selain memendekkan jarak dari Jepun ke Eropah.
Ia hanya mengambil masa kira-kira 10 hari berbanding 22 hari yang diperlukan untuk berlayar di sekitar hujung selatan Afrika dan melalui Terusan Suez sebelum ini.
Analisis oleh Middlebury Institute of International Studies pada 2024 juga mengesahkan Laluan Utara dapat mengurangkan tempoh perjalanan yang hanya mengambil 10 hari dari Shanghai, China ke Rotterdam, Belanda.
Apabila suhu laut naik dan ais mencair, lebih banyak kapal dijangka melalui Laluan Utara.
Oleh itu, kawalan ke atas laluan itu dan pesisir Greenland dijangka menjadi lebih penting untuk tempoh beberapa dekad akan datang.
AS bukanlah satu-satunya kuasa global yang berminat untuk memperluaskan pengaruh mereka di Greenland dan Artik.
Pada 2018, China melancarkan melancarkan dasar Laluan Sutera Kutub yang mana ia secara kontroversi menggelar dirinya sebagai ‘Negara hampir Artik’.
Washington semakin berasa tergugat dengan Beijing berikutan China terus berusaha mengembangkan pengaruhnya di rantau tersebut melalui ekspedisi penyelidikan saintifik, pelaburan infrastruktur dan pemerolehan sumber semula jadi sejak tujuh tahun lalu. Situasi ini jelas menunjukkan kepentingan geostrategik Greenland yang menjadi tumpuan persaingan kuasa besar. - Sinar Harian
https://www.sinarharian.com.my/article/764583/global/greenland-syurga-sumber-alam-semula-jadi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


