CRETA: Sebanyak 30 kapal misi pelayaran Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 telah berlepas dari Crete, Greece menuju ke Marmaris, Turkiye hari ini
GSF menyatakan bahawa persinggahan di Marmaris untuk membolehkan semua kapal menjalani pemeriksaan serta penyelarasan teknikal sebelum dijangka bergabung dengan kapal lain bagi meneruskan pelayaran ke Gaza.
“Pelepasan ini bukan sekadar perubahan logistik, tetapi satu kenyataan mendalam mengenai prinsip perjuangan yang tetap teguh,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan hari ini.
GSF turut menegaskan bahawa walaupun berdepan serangan dan penculikan haram oleh pasukan penjajah Israel (IOF), armada itu kekal utuh dalam meneruskan solidariti bersama rakyat Palestin.
Pada masa sama, GSF turut merakamkan penghargaan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar global, Greenpeace, yang menyertai misi pelayaran itu sejak 12 April lalu menerusi kapal Arctic Sunrise.
Bagaimanapun, Greenpeace tidak meneruskan pelayaran ke Marmaris bagi memberi tumpuan kepada kempen global lain.
Menurut GSF, kru Greenpeace memainkan peranan penting dengan melaksanakan lebih 50 operasi teknikal bagi memastikan tiada kerosakan enjin berlaku selain sistem komunikasi armada kekal berfungsi.
Kenyataan itu turut mengesahkan bahawa NGO hak asasi manusia dan pelarian berpangkalan di Sepanyol, Open Arms, akan terus menyertai armada dalam misi berkenaan.
“Selepas 22 kapal dinaiki secara haram oleh IOF pada 30 April lalu, Arctic Sunrise dan Open Arms bertindak sebagai pasukan tindak balas kecemasan utama kami.
“Kru kedua-dua kapal itu turut membantu menstabilkan armada serta memulihkan bekalan elektrik, air dan semangat yang diperlukan untuk meneruskan misi,” katanya.
Kenyataan itu turut mengulangi tuntutan agar dua ahli jawatankuasa pemandu GSF, Saif Abu Keshek dan Thiago Avila berserta 10,000 tahanan warga Palestin dibebaskan segera daripada tahanan rejim Zionis Israel.
GSF turut menuntut pelaksanaan gencatan senjata berkekalan, penamatan sekatan haram rejim Israel ke atas penduduk Gaza serta perlindungan penuh terhadap misi kemanusiaan maritim awam.
“Setiap ombak yang kami harungi menjadi bukti bahawa dunia enggan terus memalingkan pandangan. Sekatan itu semakin runtuh, perjuangan untuk Palestin terus mara,” katanya lagi.