KOTA BHARU: Tempoh reman dua remaja lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh seorang penuntut kolej perempuan yang ditemukan dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh disambung selama tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman sehingga Khamis depan terhadap dua suspek berusia 19 tahun dikeluarkan Majistret Rais Imran Hamid di Mahkamah Majistret di sini, selepas reman tujuh hari sebelum ini, tamat hari ini.
Terdahulu, dua suspek tiba di mahkamah pada 8.50 pagi dengan memakai pakaian lokap, bergari dan diiringi anggota polis.
Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 1 Mei, mayat penuntut kolej itu ditemukan di jalan berhampiran kawasan sawah Kampung Simah dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum dibuang di situ.
Susulan kejadian itu, empat suspek berusia 19 hingga 66 tahun ditahan bagi membantu siasatan, namun dua warga emas termasuk seorang wanita telah dibebaskan selepas direman tiga hari.
-- BERNAMA