PERBADANAN Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memperkukuh pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di Selangor menerusi jaringan 122 rakan strategik melibatkan kedai runcit, pemborong dan pasar raya bagi memastikan rakyat terus menikmati barangan keperluan pada harga lebih rendah.
Langkah itu dilihat mampu memperluaskan akses jualan murah ke lebih banyak kawasan termasuk luar bandar dan kampung, selaras pengumuman Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengenai peluasan PJRM ke semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara mingguan bermula tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, sehingga kini PKPS telah menjalinkan kerjasama dengan 80 kedai runcit, empat pemborong dan 38 pasar raya rakan strategik yang terlibat aktif menjayakan program tersebut di seluruh Selangor.
Menurutnya, rangkaian kerjasama itu menjadi tulang belakang kepada usaha memastikan bekalan barangan asas mencukupi dan mampu dijual pada harga lebih berpatutan kepada rakyat.
“Kerjasama strategik ini membolehkan program jualan murah dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan efektif termasuk di kawasan yang sebelum ini kurang menerima akses jualan murah.
“Ia bukan sahaja membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup, malah turut membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk terlibat dalam ekosistem rantaian bekalan makanan negeri,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, PKPS menyambut baik langkah kerajaan memperluaskan PJRM kerana inisiatif itu dilihat selari dengan usaha berterusan membantu rakyat menghadapi kenaikan harga barang dan cabaran ekonomi semasa.
Menurutnya, PKPS juga bersedia memberikan kerjasama penuh kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memastikan pelaksanaan program berjalan lancar.
“Dengan pengalaman dan kemudahan infrastruktur yang dimiliki, PKPS yakin mampu menyokong pelaksanaan PJRM secara berkesan demi manfaat rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kejayaan Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang dilaksanakan bersama KPDN Selangor menjadi bukti keberkesanan inisiatif jualan murah di negeri itu.
Katanya, sejak diperkenalkan pada 2022 hingga 2025, program JER telah dilaksanakan di lebih 3,300 lokasi di seluruh Selangor dengan menawarkan barangan keperluan dapur pada harga kira-kira 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.
PKPS merupakan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) Selangor yang ditubuhkan pada 1972 bagi memacu pembangunan sektor pertanian dan agro-makanan negeri melalui pelbagai projek komersial serta program tanggungjawab sosial korporat (CSR). - Sinar Harian