Skip to main content

Dunia

AS gugur label pengganas ke atas Syria, buka lembaran hubungan baharu

A flag flies in the wind Damascus, Syria, Dec 8, 2025. (Photo: REUTERS/Yamam al Shaar)
Syria menyambut baik pengumuman itu dan menyifatkannya sebagai peluang besar untuk memulihkan ekonomi negara yang masih terjejas teruk akibat peperangan berpanjangan yang meragut lebih setengah juta nyawa. - Gambar fail/ Syria
Advertisement

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) pada Isnin menggugurkan Syria daripada senarai negara penaja keganasan, sekali gus membatalkan status yang dikenakan sejak beberapa dekad lalu dan membawa sekatan ekonomi yang ketat terhadap negara itu.

Jabatan Negara AS turut membatalkan penyenaraian Barisan al-Nusra, yang kini dikenali sebagai Hay'at Tahrir al-Sham (HTS), sebagai organisasi pengganas global. 

Pada masa sama, Jabatan Perbendaharaan AS mengumumkan kelonggaran sekatan berkaitan.

HTS mengetuai kumpulan pemberontak yang menggulingkan pemerintahan Presiden Bashar al-Assad pada Disember 2024. 

Pemimpinnya, Ahmed al-Sharaa, kemudian mengambil alih jawatan Presiden ketika Syria berusaha membina semula negara itu selepas lebih 13 tahun konflik perang saudara.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent berkata, langkah terbaharu itu dijangka membuka ruang kepada lebih banyak pelaburan asing yang dapat membantu menstabilkan politik dan ekonomi Syria.

"Tindakan hari ini akan membantu menggalakkan pelaburan tambahan di Syria bagi mempromosikan kestabilan politik dan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Jabatan Perbendaharaan, keputusan itu selaras dengan komitmen Presiden Donald Trump untuk memberikan kelonggaran sekatan terhadap Syria.

Bagaimanapun, agensi itu menegaskan bahawa pengguguran sekatan ke atas Syria tidak mengubah pendirian Washington dalam memerangi keganasan global dan memastikan pihak yang melakukan pelanggaran undang-undang di Syria terus dipertanggungjawabkan.

Hubungan semakin erat

HTS sebelum ini dikenali sebagai Barisan al-Nusra dan pernah menjadi cabang Al-Qaeda di Syria sebelum memutuskan hubungan dengan kumpulan jihad itu pada 2016.

Washington pada Julai lalu telah menyatakan hasrat untuk mengeluarkan Syria daripada senarai negara penaja keganasan, langkah yang dilihat sebagai tanda keyakinan terhadap kepimpinan Ahmed al-Sharaa.

Trump turut mengadakan pertemuan dengan presiden Syria itu di sela-sela sidang kemuncak NATO di Turkiye. 

Al-Sharaa, yang pernah dikaitkan dengan kumpulan jihad, kini berusaha menampilkan dirinya sebagai figura penyatu negara selepas kejatuhan keluarga Assad yang memerintah Syria secara autoritarian selama kira-kira setengah abad.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, keputusan menggugurkan sekatan itu memberi rakyat Syria peluang untuk menikmati kemakmuran yang lebih besar.

Menurutnya, langkah tersebut menghapuskan halangan utama terakhir kepada pelaburan sektor swasta di Syria serta membantu mempercepatkan proses pemulihan ekonomi dan integrasi semula negara itu ke dalam ekonomi global.

Pegawai kanan Syria menyambut baik pengumuman itu dan menyifatkannya sebagai peluang besar untuk memulihkan ekonomi negara yang masih terjejas teruk akibat peperangan berpanjangan yang meragut lebih setengah juta nyawa.

Menteri Luar Syria, Assad al-Shaibani menyifatkan tindakan AS itu sebagai "detik bersejarah" yang mencerminkan komitmen kerajaan baharu Syria terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Menteri Kewangan Syria, Mohammed Barnieh pula menyifatkan keputusan tersebut sebagai kejayaan diplomasi negara itu.

Katanya, langkah itu membuka ruang yang sekian lama dinantikan untuk memperkukuh integrasi Syria ke dalam sistem ekonomi dan kewangan global, menarik pelaburan serta teknologi moden, selain menyokong peluang pembangunan negara.

Sementara itu, Gabenor Bank Pusat Syria, Safwat Raslan berkata, institusinya sedang berusaha membangunkan sistem kewangan yang moden dan diyakini, sekali gus membolehkan negara itu memanfaatkan peluang baharu hasil perubahan dasar tersebut. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement