Skip to main content

Bisnes

Belanjawan 2027: Pakej RM160 juta Kerajaan-Grab bela pekerja gig, auto-daftar KWSP seawal usia 18 tahun

Anwar memberitahu Majlis Perundingan Gig kini berada pada peringkat akhir rundingan bagi memuktamadkan standard minimum perlindungan sosial dan formula kadar pendapatan yang disasarkan siap pada awal tahun 2027. - Gambar hiasan
Anwar memberitahu Majlis Perundingan Gig kini berada pada peringkat akhir rundingan bagi memuktamadkan standard minimum perlindungan sosial dan formula kadar pendapatan yang disasarkan siap pada awal tahun 2027. - Gambar hiasan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersama syarikat penyedia perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran, Grab, bersetuju membiayai pakej khas bernilai RM160 juta bermula tahun 2027 bagi menambah baik kebajikan serta meningkatkan pendapatan bersih pekerja sektor gig di negara ini.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027) di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Menurut Anwar, langkah proaktif itu dirangka bagi menjamin jaring keselamatan sosial buat kira-kira 600,000 rakyat Malaysia yang bergantung rezeki dalam ekosistem e-hailing dan p-hailing.

Jelas beliau, pakej berkenaan mencakupi peningkatan kadar pendapatan minimum, bantuan kos penyelenggaraan kenderaan, perlindungan insurans, serta caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

"Ini bermakna, pendapatan bersih untuk pemandu e-hailing pada tahap median dijangka meningkat sehingga 227 ringgit sebulan, manakala pendapatan penghantar p-hailing meningkat sehingga 100 ringgit sebulan," kata beliau sewaktu berucap membentangkan Belanjawan MADANI Kelima di Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar memberitahu Majlis Perundingan Gig kini berada pada peringkat akhir rundingan bagi memuktamadkan standard minimum perlindungan sosial dan formula kadar pendapatan yang disasarkan siap pada awal tahun 2027.

Sementara menunggu ketetapan itu, kerajaan menawarkan insentif caruman padanan PERKESO sebanyak 35 peratus kepada pekerja gig, dan kadar itu dinaikkan kepada 50 peratus sekiranya syarikat platform turut sama menanggung caruman pekerja mereka.

Bagi pekerja bekerja sendiri dalam 17 sektor bukan mandatori lain pula, insentif caruman padanan PERKESO sehingga 70 peratus disediakan untuk memanfaatkan lebih 200,000 individu.

Menyentuh aspek persaraan jangka panjang, Anwar turut mengumumkan peningkatan insentif padanan caruman sukarela i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM600 setahun, tertakluk kepada had terkumpul RM6,000 seumur hidup.

Sebagai pembaharuan struktural terhadap tabungan masa hadapan rakyat, beliau menegaskan setiap warganegara kini akan didaftarkan secara automatik sebagai ahli KWSP sebaik sahaja genap usia 18 tahun.

Bagi membolehkan warga gig membina aset dan berdikari, Anwar memaklumkan Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank menyediakan kemudahan pembiayaan bernilai RM270 juta khusus untuk pekerja sektor itu membeli rumah pertama atau memulakan perniagaan. 

Must Watch Video

Advertisement