Skip to main content

Dunia

Gunung berapi Fuego di Guatemala meletus, penduduk kampung dipindahkan

Guatemala's Fuego volcano erupts as seen from Agua volcano, in Sacatepequez, Guatemala, August 4, 2026 in this screen grab taken from a handout video. CRELOSA/Handout via REUTERS THIS IMAGE HAS BEEN SUPPLIED BY A THIRD PARTY. NO RESALES. NO ARCHIVES. MANDATORY CREDIT. MUST NOT OBSCURE LOGO
Gunung berapi Fuego meletus seperti yang dilihat dari Gunung Agua di Sacatepequez, Guatemala. - Foto REUTERS
Advertisement

ISTANBUL: Pihak berkuasa Guatemala memindahkan penduduk dari sekurang-kurangnya dua kampung selepas Gunung Berapi Fuego meletus, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik laporan media.

Fuego, antara gunung berapi paling aktif di Hemisfera Barat, mula memuntahkan lahar dan abu pada Isnin, menyebabkan pihak berkuasa memperkenalkan langkah keselamatan.

Menjelang awal pagi Selasa, agensi pemantau gunung berapi negara itu melaporkan aliran piroklas yang mengandungi gas panas, abu dan serpihan gunung berapi terus mengalir turun mengikut cerun tenggara, menurut BBC.

Sebagai maklum balas, agensi pengurusan bencana Guatemala, Conred, mengisytiharkan Amaran Jingga peringkat kebangsaan iaitu tahap amaran kedua tertinggi, selain memberi amaran bahawa aliran piroklas susulan dan awan abu tebal berpotensi terbentuk.

Penduduk dinasihatkan supaya sentiasa menutup pintu dan tingkap, manakala sesi persekolahan berhampiran kawasan gunung berapi digantung sebagai langkah berwaspada.

Fuego terletak kira-kira 16 kilometer  di barat Antigua, sebuah bandar Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang terkenal dengan seni bina kolonial serta menjadi destinasi tumpuan pelancong. Gunung berapi berkenaan juga merupakan tarikan popular bagi aktiviti mendaki.

Pihak berkuasa menggesa penduduk tempatan dan pelawat supaya menjauhi kawasan cerun gunung berapi serta lokasi berisiko tinggi yang lain.

Pada 2018, letupan Gunung Berapi Fuego mengorbankan lebih 200 orang, yang kebanyakannya maut apabila aliran piroklas bergerak pantas melanda jurang Las Lajas.

-- BERNAMA-ANADOLU 

 

 

Must Watch Video

Advertisement