Skip to main content

Dunia

Gunung Semeru kembali meletus, kepulan abu cecah 1,000 meter

Kompas
Letusan yang berlaku pada jam 7.51 pagi waktu tempatan itu direkod seismograf dengan amplitud maksimum 23 milimeter dengan tempoh selama 102 saat. -Foto Kompas.com
Advertisement

JAKARTA: Gunung Semeru yang terletak di sempadan daerah Lumajang dan Malang, Jawa Timur kembali meletus pada Ahad, dengan kepulan abu dikesan setinggi 1,000 meter dari puncak Mahameru atau kira-kira 4,676 meter dari paras laut.

Menurut pihak berkuasa Indonesia, kepulan abu berwarna putih hingga kelabu tebal itu bergerak ke arah timur.

Letusan yang berlaku pada jam 7.51 pagi waktu tempatan itu direkod seismograf dengan amplitud maksimum 23 milimeter dengan tempoh selama 102 saat.

Sehingga kini, status aktiviti gunung berapi tertinggi di Pulau Jawa itu kekal pada Tahap III (Siaga).

Memetik laporan Kompas.com, orang ramai dilarang menjalankan sebarang aktiviti di sektor tenggara sepanjang laluan Besuk Kobokan sehingga 13 kilometer dari pusat erupsi.

Selain itu, larangan turut meliputi kawasan dalam jarak 500 meter dari tebing sungai di sepanjang Besuk Kobokan berikutan risiko aliran awan panas dan lahar yang boleh mencapai sehingga 17 kilometer dari puncak gunung.

Penduduk setempat dan pelancong turut dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan dalam radius lima kilometer dari kawah utama bagi mengelakkan bahaya lontaran batu pijar.

Penduduk juga diminta berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya awan panas, guguran lava dan aliran lahar di sepanjang sungai yang berpunca dari Gunung Semeru.

Sementara itu, kebakaran hutan di lereng Gunung Semeru masih belum dipadamkan, dengan kawasan terjejas dilaporkan melebihi 3,000 hektar.

Susulan kebakaran itu, laluan pendakian Gunung Semeru turut ditutup sehingga keadaan kembali selamat.

Must Watch Video

Advertisement