DUNIA
Haiti isytihar darurat tiga bulan susulan keganasan kumpulan bersenjata

Anggota polis Haiti membuat rondaan di kawasan pinggir Port-au-Prince pada 4 Ogos lalu. - Gambar Reuters
PORT-AU-PRINCE: Kerajaan Haiti mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di beberapa wilayah negara itu susulan peningkatan mendadak keganasan kumpulan bersenjata.
Langkah itu meliputi wilayah Barat, Tengah dan Artibonite – kawasan yang digelar ‘jelapang padi’ Haiti – yang kebelakangan ini menyaksikan peningkatan serangan oleh kumpulan bersenjata.
Dalam kenyataan pada Sabtu, kerajaan memaklumkan, pengisytiharan itu bertujuan untuk “meneruskan usaha memerangi ketidakselamatan dan menangani krisis pertanian serta makanan.”
“Ketidakselamatan memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat dan pelbagai sektor ekonomi negara. Memandangkan krisis ini semakin meruncing, adalah penting untuk menggerakkan sepenuhnya sumber dan keupayaan institusi negara bagi menanganinya,” jelas kenyataan itu.Haiti berdepan pergolakan berterusan sejak bertahun-tahun, dengan kumpulan bersenjata yang berpengaruh – sering dikaitkan dengan tokoh politik dan perniagaan – berebut kuasa serta menguasai wilayah.
Keadaan menjadi semakin genting selepas pembunuhan Presiden Jovenel Moise pada Julai 2021 yang mencetuskan kekosongan kuasa.
Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) pada Jun lalu melaporkan hampir 1.3 juta penduduk hilang tempat tinggal, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan 4,864 orang terbunuh dari Oktober 2024 hingga Jun tahun ini.
Usaha membendung keganasan, termasuk misi kepolisan yang diterajui Kenya dengan sokongan PBB, setakat ini gagal memulihkan kestabilan.
Walaupun tumpuan banyak diberikan kepada ibu negara Port-au-Prince – yang dianggarkan 90 peratus kawasannya dikuasai kumpulan bersenjata – keganasan turut merebak ke wilayah lain.
Menurut Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, lebih 1,000 penduduk dibunuh dan 620 lagi diculik di Artibonite dan wilayah Tengah antara Oktober 2024 hingga hujung Jun lalu.
Akhir April lalu, puluhan penduduk terpaksa meredah dan berenang menyeberangi Sungai Artibonite demi melarikan diri daripada kumpulan bersenjata.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan pada Jumaat melantik Andre Jonas Vladimir Paraison sebagai pemangku Ketua Polis Kebangsaan Haiti.
Beliau kini bekerjasama dengan anggota polis Kenya dalam misi PBB bagi meredakan keganasan.
“Kami, pasukan polis, tidak akan tidur. Kami akan pastikan keselamatan di setiap inci negara ini,” tegas Paraison ketika majlis pelantikannya.
Paraison sebelum ini mengetuai keselamatan Istana Negara Haiti dan berada dalam pasukan pengawal ketika Moise dibunuh di kediamannya pada Julai 2021.
Beliau menggantikan Normil Rameau yang mengetuai pasukan polis lebih setahun, tetapi berdepan ketegangan dengan sebahagian anggota Majlis Presiden Peralihan, termasuk Perdana Menteri Alix Didier Fils-Aime. Rameau berulang kali memberi amaran mengenai kekurangan dana serius dalam pasukan polis.
Pertukaran kepimpinan itu berlaku ketika Laurent Saint-Cyr – seorang ahli perniagaan berpengaruh – mengambil alih jawatan Presiden Majlis Presiden Peralihan minggu ini.
Majlis itu bertanggungjawab mengadakan pilihan raya selewat-lewatnya Februari 2026. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami