BOGOTA: Sebuah mahkamah di Paraguay pada Sabtu memerintahkan bekas Presiden Santiago Pena yang dipecat daripada jawatannya ditahan reman bagi menghadapi pertuduhan jenayah susulan kejatuhan Ueno Bank yang mencetuskan krisis kewangan serius, lapor Anadolu Ajansi.
Hakim Humberto Otazu memutuskan bahawa Pena perlu ditahan di ibu pejabat Rejimen Pengiring Presiden di ibu negara, Asuncion.
Keputusan itu dibuat beberapa jam selepas Pejabat Pendakwa Raya secara rasmi mendakwa bekas presiden berkenaan atas kesalahan pecah amanah, memperoleh kekayaan secara tidak sah melalui urus niaga yang mempunyai konflik kepentingan serta pemalsuan dokumen awam.
Pena hadir di Pejabat Peguam Negara untuk menjawab soalan pihak pendakwa selama hampir tiga jam sebelum kembali ke dalam tahanan polis tentera.
Pena ditahan di kediaman peribadinya pada lewat Jumaat sebelum ditempatkan di Rejimen Pengiring Presiden semalaman.
Penahanan itu dibuat selepas perbicaraan pemecatan di Senat pada Jumaat, apabila ahli Parlimen mengundi untuk menyingkirkannya daripada jawatan atas alasan "salah laku dalam jawatan" dan "kegagalan melaksanakan tugas dengan baik" berhubung cara pentadbirannya menangani krisis kewangan.
Krisis bermula pada 3 Nov apabila Bank Pusat Paraguay (BCP) campur tangan dalam operasi Ueno Bank susulan masalah ketidakmampuan bank berkenaan memenuhi kewajipan kewangan yang serius.
Kejatuhan bank itu menyebabkan deposit milik 2.94 juta pelanggan dibekukan, merangkumi hampir separuh daripada penduduk Paraguay, termasuk institusi awam penting dan dana pencen seperti Institut Keselamatan Sosial yang dikendalikan kerajaan.
Krisis itu mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran di jalan raya di Asuncion sebelum disuraikan polis.
Ketika prosiding undang-undang terhadap Pena diteruskan, Presiden baharu Pedro Alliana yang baru mengangkat sumpah jawatan, sebelum ini naib presiden dan juga anggota Parti Colorado yang memerintah, memulakan hari pertamanya sebagai presiden pada Sabtu.
Pentadbiran Alliana kini berdepan tekanan segera untuk menunaikan janji memberikan pampasan penuh kepada pendeposit, dengan tumpuan utama kerajaan terhadap usaha menstabilkan sistem kewangan dan memulihkan keyakinan awam susulan krisis itu.
-- BERNAMA-ANADOLU