INTERNATIONAL
Hakim perintah pentadbiran Trump simpan rekod Signal berkaitan serangan di Yaman

Penasihat Keselamatan Negara, Michael Waltz, Naib Presiden JD Vance, dan Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth mendengar soalan daripada seorang wartawan semasa satu mesyuarat di Pejabat Oval di White House pada 13 Mac, di Washington.
WASHINGTON: Seorang hakim persekutuan pada hari Khamis telah memerintahkan agensi utama pentadbiran Donald Trump untuk menyimpan mesej yang dihantar melalui aplikasi Signal antara 11 hingga 15 Mac.
Hakim James Boasberg membuat keputusan itu dalam satu kes saman pemeliharaan yang timbul selepas pendedahan bahawa pegawai Kabinet berbincang mengenai rancangan peperangan melalui aplikasi Signal.
Jabatan Kehakiman memaklumkan, pentadbiran sudah berusaha menjejaki dan menyimpan mesej Signal dari tempoh tersebut.
Perintah sementara Boasberg juga mengarahkan pentadbiran untuk mengemukakan laporan status pada hari Isnin, bersama deklarasi daripada pegawai kerajaan yang menerangkan langkah-langkah yang diambil oleh agensi tersebut untuk menyimpan mesej berkenaan.Mesej yang dipersoalkan termasuk perbincangan mengenai serangan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) ke atas sasaran Houthi di Yaman.
The Atlantic melaporkan awal minggu ini, beberapa jam sebelum serangan pada 15 Mac, anggota tertinggi Kabinet Presiden AS berbincang mengenai rancangan operasi secara terperinci dalam satu kumpulan perbualan di Signal.
Sehari selepas pendedahan itu, sebuah kumpulan pemerhati telah memfailkan saman, menuduh pegawai Kabinet yang terlibat dalam perbualan tersebut melanggar undang-undang rekod persekutuan.
Sumber CNN mendakwa, maklumat yang dikongsi oleh Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth dalam
kumpulan tersebut adalah sulit, walaupun pentadbiran Trump menafikan dakwaan itu.
American Oversight, sebuah kumpulan pertubuhan bukan kerajaan yang membawa kes saman pemeliharaan rekod ini, menyatakan keputusan pada Khamis adalah “langkah penting ke arah akauntabiliti.”
Kumpulan itu meminta mahkamah persekutuan memaksa pegawai pentadbiran Trump memperbaiki pemeliharaan rekod mereka.
“Orang awam berhak tahu bagaimana keputusan mengenai peperangan dan keselamatan negara dibuat - dan akauntabiliti tidak boleh hilang hanya kerana mesej tersebut diatur untuk terpadam secara automatik,” kata pengarah eksekutif sementara kumpulan itu, Chioma Chukwu, dalam satu kenyataan.
Perbicaraan mahkamah selama 20 minit pada Khamis itu memberi tumpuan kepada usaha Hakim Boasberg untuk “mencari titik persamaan” antara pentadbiran Trump dan American Oversight agar beliau dapat mengeluarkan perintah sementara yang diterima kedua-dua pihak.
Sebelum perbicaraan, Jabatan Perbendaharaan memaklumkan telah berjaya menyimpan “sebahagian” mesej dari perbualan tersebut untuk tujuan rekod persekutuan.
Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent merupakan antara yang terlibat dalam perbualan Signal pada 15 Mac dan teks mesej tersebut kini telah disimpan, menurut seorang pegawai jabatan dalam kenyataan bersumpah kepada mahkamah.
Walaupun tidak disebut secara langsung, Boasberg juga mengetuai kes berprofil tinggi lain yang mencabar penggunaan kuasa peperangan luar biasa oleh Trump untuk mempercepatkan pengusiran migran.
Kes Signal ini diberikan kepada Boasberg secara kebetulan, menurut hakim itu, yang turut menjelaskan bagaimana sistem penugasan kes secara rawak berfungsi di mahkamah persekutuan DC.
Semasa perbicaraan semalam juga, Boasberg dengan berseloroh merujuk kepada pertikaian utama dalam kes pengusiran tersebut mengenai sama ada pentadbiran perlu mematuhi perintah yang dikeluarkannya secara lisan sebelum ia didokumenkan secara bertulis.
Ketika beliau menyampaikan arahan kepada peguam DOJ dalam kes pemeliharaan rekod itu, Boasberg berkata sambil tersenyum, “Jangan risau, perintah ini akan didokumenkan secara bertulis.” - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami