ISTANBUL: Seorang hakim persekutuan pada Rabu mengeluarkan injunksi awal yang menyekat pentadbiran Presiden Donald Trump daripada menguatkuasakan perintah eksekutif terbaharunya untuk mengehadkan kewarganegaraan melalui kelahiran, lapor Anadolu Ajansi.
Mahkamah Daerah Maryland dalam keputusannya berkata pihak berkuasa “dilarang mengambil sebarang tindakan lain untuk mengganggu, menafikan atau gagal mengiktiraf kewarganegaraan mana-mana anggota kumpulan yang telah diperakui.”
Injunksi itu terpakai terhadap beberapa agensi utama persekutuan termasuk Jabatan Negara, Jabatan Kehakiman dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.
Walaupun pelaksanaan perintah itu dibekukan, mahkamah memaklumkan kerajaan masih boleh mengeluarkan panduan kepada orang ramai berkaitan bahagian tertentu dasar berkenaan.
Perintah eksekutif 2026 itu bertujuan memperluas kategori individu yang tidak layak memperoleh kewarganegaraan secara automatik dan menyasarkan amalan “pelancongan kelahiran”.
Langkah itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) pada Jun yang membatalkan percubaan terdahulu untuk menamatkan kewarganegaraan melalui kelahiran.
Ketua Hakim John Roberts ketika itu menegaskan bahawa Pindaan Ke-14 melindungi semua kanak-kanak yang dilahirkan di AS.
-- BERNAMA-ANADOLU