Skip to main content

Dunia

Hakim Texas putuskan TikTok mengelirukan pengguna mengenai ciri keselamatan kanak-kanak

TIKTOK USER
Seorang hakim di Texas memutuskan bahawa TikTok telah melanggar undang-undang perlindungan pengguna negeri itu kerana mengelirukan pengguna mengenai cara platform tersebut menapis kandungan untuk golongan bawah umur serta keberkesanan ciri keselamatan dikenali sebagai Restricted Mode. - Gambar hiasan
Advertisement

AUSTIN: Seorang hakim di Texas memutuskan bahawa TikTok telah melanggar undang-undang perlindungan pengguna negeri itu kerana mengelirukan pengguna mengenai cara platform tersebut menapis kandungan untuk golongan bawah umur serta keberkesanan ciri keselamatan dikenali sebagai Restricted Mode.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Cory Liu pada Khamis, susulan saman yang difailkan oleh negeri Texas pada Januari 2025 yang mendakwa TikTok memasarkan platformnya sebagai ruang yang selamat untuk kanak-kanak.

TikTok tidak memberikan sebarang maklum balas segera terhadap permintaan komen yang dibuat di luar waktu operasi biasa.

Menurut keputusan mahkamah itu, pihak Texas berhujah bahawa TikTok memaklumkan kepada pengguna bahawa ia akan membuang kandungan yang melanggar Garis Panduan Komuniti syarikat tersebut.

Bagaimanapun, secara dalaman, sebahagian kandungan berkenaan diklasifikasikan sebagai "sukar ditemui" (hard to find) dan bukannya "tidak dibenarkan" (do not allow), sekali gus membolehkannya terus kekal di platform. Hakim Liu bersetuju bahawa amalan itu melanggar undang-undang perlindungan pengguna Texas.

Beliau turut memutuskan bahawa Texas berjaya membuktikan ciri Restricted Mode tidak berfungsi seperti yang diiklankan dan telah mendedahkan pengguna bawah umur kepada kandungan yang sepatutnya ditapis.

Pejabat Peguam Negara Texas, Ken Paxton berkata, kes berkenaan akan diteruskan ke perbicaraan bagi menentukan penalti serta bentuk remedi lain yang akan dikenakan terhadap TikTok.

Menurut pejabat Paxton, perbicaraan dijangka dijadualkan pada bulan depan.

Dalam perkembangan berkaitan, TikTok pada Ogos lalu bersetuju menyelesaikan tiga saman di Amerika Syarikat yang difailkan oleh golongan muda yang mendakwa syarikat media sosial mereka bentuk platform masing-masing supaya bersifat ketagihan dan menjejaskan kesihatan mental pengguna.

Pada bulan yang sama, Meta turut bersetuju membayar sehingga AS$18 bilion bagi menyelesaikan tuntutan berkaitan ketagihan penggunaan media sosial di Amerika Syarikat. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement