DUNIA
Hamas 'sedia untuk keamanan berkekalan,' Israel 'mesti segera hentikan pengeboman Gaza' - Trump

Trump turut merakamkan penghargaan kepada Turkiye, Qatar, Arab Saudi, Mesir, Jordan "dan ramai lagi, begitu banyak pihak yang berusaha keras." - Gambar fail/REUTERS
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat menyambut baik respons Hamas terhadap cadangan gencatan senjata serta pertukaran tahanan yang dikemukakannya, dengan menyatakan keyakinan bahawa kumpulan Palestin itu "sedia untuk keamanan berkekalan."
Ringkasan AI
- Donald Trump menyambut baik respons Hamas terhadap cadangan gencatan senjata dan pertukaran tahanan, serta menegaskan ia langkah penting ke arah keamanan di Timur Tengah.
- Hamas bersetuju membebaskan tawanan Israel, menyerahkan jenazah mangsa, dan menubuhkan pentadbiran teknokrat Palestin di Gaza, namun menekankan isu masa depan Gaza mesti berdasarkan undang-undang serta resolusi antarabangsa.
- Pelan Trump menetapkan Gaza sebagai zon bebas senjata, pembebasan tahanan kedua-dua pihak, serta pengunduran berperingkat Israel dengan pentadbiran Gaza dipantau badan antarabangsa yang diketuai AS.
"Rundingan secara terperinci sedang dijalankan.
"Ini bukan semata-mata mengenai Gaza, sebaliknya mengenai keamanan di Timur Tengah yang sekian lama diidamkan," katanya di platform Truth Social, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam mesej video berasingan, Trump merakamkan penghargaan kepada Turkiye, Qatar, Arab Saudi, Mesir, Jordan "dan ramai lagi, begitu banyak pihak yang berusaha keras."
"Hari ini adalah hari penting. Kita akan lihat bagaimana ia berakhir. Kita perlu memastikan keputusan muktamad dicapai.
"Kami menerima bantuan yang amat besar. Semua pihak bersatu mahu perang ini berakhir dan menyaksikan keamanan di Timur Tengah, dan kini kita hampir mencapainya. Terima kasih kepada semua, dan semua akan dilayan dengan adil," katanya.
Hamas sebelum ini menyampaikan maklum balas rasmi terhadap pelan Trump dengan menyatakan persetujuan membebaskan semua tawanan Israel, menyerahkan jenazah mangsa serta penyerahan pentadbiran Gaza kepada sebuah badan teknokrat Palestin yang bebas.
Israel menganggarkan terdapat 48 tawanan Israel di Gaza, termasuk 20 yang masih hidup, manakala sekitar 11,100 rakyat Palestin ditahan di penjara Israel.
Dalam kenyataan di Telegram, Hamas menegaskan bahawa "isu lain yang dibangkitkan dalam cadangan Presiden Trump mengenai masa depan Semenanjung Gaza dan hak sah rakyat Palestin perlu terikat dengan pendirian nasional yang bersatu berlandaskan undang-undang serta resolusi antarabangsa yang relevan."
Sumber Palestin memaklumkan kepada Anadolu bahawa Hamas telah menyerahkan respons rasmi mereka kepada para pengantara dan turut meminta penjelasan mengenai beberapa klausa.
Hamas menjelaskan bahawa pihaknya mengadakan "perbincangan mendalam dalam institusi kepimpinan, rundingan meluas dengan pasukan serta puak Palestin, selain pengantara dan sahabat bagi mencapai pendirian yang bertanggungjawab dalam menangani pelan Presiden Trump."
Ia turut menyatakan penghargaan terhadap "usaha Arab, Islam dan antarabangsa, serta Presiden Trump sendiri, yang menyeru agar perang di Gaza ditamatkan, pertukaran tahanan dilaksanakan, bantuan segera dibenarkan masuk, penolakan terhadap penjajahan ke atas Gaza, serta penolakan pengusiran rakyat Palestin dari tanah mereka."
Pada Jumaat, Trump menetapkan sehingga 6 petang waktu Washington pada Ahad untuk Hamas meluluskan pelannya.
Pelan itu antara lain bertujuan menjadikan Gaza sebagai zon bebas senjata, dengan mekanisme pemerintahan peralihan dipantau terus oleh Trump melalui sebuah badan antarabangsa.
Ia juga menetapkan pembebasan semua tawanan Israel yang ditahan Hamas dalam tempoh 72 jam selepas kelulusan, sebagai pertukaran kepada pembebasan ratusan tahanan Palestin dari penjara Israel.
Selain itu, pelan berkenaan mewajibkan penghentian permusuhan, pelucutan senjata semua kumpulan bersenjata di Gaza serta pengunduran berperingkat Israel dari wilayah itu, yang kemudiannya akan ditadbir sebuah pihak berkuasa teknokrat di bawah penyeliaan badan antarabangsa diketuai Presiden AS.
Israel telah mengenakan sekatan ke atas Gaza, yang dihuni hampir 2.4 juta penduduk sejak hampir 18 tahun lalu.
Sekatan itu diperketatkan pada Mac apabila rejim menutup lintasan sempadan dan menyekat penghantaran makanan serta ubat-ubatan, sehingga mendorong krisis kebuluran.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami