Skip to main content

Dunia

Hampir kesemua migran di Cueta pulang ke Maghribi - Marlaska

Members of the military escort migrants in Ceuta, Spain, following recent mass crossings of migrants on foot and by sea from Morocco into Spanish territory, August 1, 2026. REUTERS/Violeta Santos Moura TPX IMAGES OF THE DAY
Anggota tentera mengiringi sekumpulan migran di Ceuta, Sepanyol, susulan kemasukan beramai-ramai migran sama ada melalui darat dan laut dari Maghribi ke wilayah Sepanyol. - Foto REUTERS
Advertisement

MADRID: Menteri Dalam Negeri Sepanyol Fernando Grande-Marlaska memaklumkan pada Selasa kira-kira 70,000 daripada 72,000 migran yang merentasi enklaf Ceuta milik Sepanyol di Afrika Utara dari Maghribi minggu lepas, kini telah kembali ke negara asal mereka, lapor Agensi Berita Xinhua.

Marlaska menyatakan perkara itu pada sidang media selepas sidang video tergempar Menteri-Menteri Dalam Negeri Kesatuan Eropah (EU) bagi membincangkan krisis kemasukan migran ke Ceuta.

Beliau berkata kesemua negara anggota EU dan negara sekutu Schengen menyertai mesyuarat itu secara konstruktif serta mengiktiraf tindakan pantas pihak berkuasa Sepanyol dalam menangani krisis berkenaan.

Marlaska berkata Ceuta tertakluk kepada pengaturan khas di bawah rangka kerja Schengen dan tiada sesiapa dibenarkan meninggalkan enklaf itu untuk ke tanah besar Sepanyol tanpa melalui pemeriksaan dokumen yang sah. Justeru, beliau menegaskan kawasan Schengen tidak pernah berada dalam keadaan berisiko.

Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen sebelum ini memaklumkan tiada seorang pun daripada migran yang terlibat dalam kejadian melintas secara besar-besaran itu berjaya sampai ke tanah besar Sepanyol atau mana-mana bahagian lain di EU dari Ceuta.

Menurut ringkasan mesyuarat EU pada Selasa, negara-negara peserta menzahirkan "solidariti teguh" kepada Sepanyol dan bersetuju untuk memperkemas sistem pengesanan serta amaran awal blok berkenaan bagi mengenal pasti pergerakan berskala besar sedemikian pada peringkat lebih awal.

Sementara itu, delegasi Kerajaan Sepanyol di Ceuta pada Selasa mengesahkan tiga lagi mayat berkaitan insiden berkenaan telah ditemukan sejak Isnin, sekali gus meningkatkan jumlah kematian yang disahkan dalam kejadian di Ceuta itu kepada 75 orang.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement