TOKYO: Japan Airlines Co. (JAL) pada Selasa mengumumkan akan mengurangkan surcaj bahan api bagi tiket penerbangan antarabangsa yang dikeluarkan pada September dan Oktober, susulan penurunan harga bahan api pada Jun dan Julai selepas melonjak akibat perang Amerika Syarikat (AS)-Iran, lapor Kyodo News.
JAL akan menurunkan surcaj bagi tiket sehala ke Amerika Utara dan Eropah kepada 50,000 yen (AS$313), berbanding paras tertinggi 65,000 yen bagi Julai dan Ogos.
Surcaj bagi tiket ke China dan Taiwan pula akan dikurangkan kepada 12,400 yen daripada 16,900 yen.
All Nippon Airways Co. pada Rabu lepas turut mengumumkan pengurangan surcaj bagi tiket penerbangan antarabangsa, dengan menetapkannya pada 55,000 yen bagi destinasi Amerika Utara dan Eropah, lebih rendah berbanding 65,000 yen pada Julai dan Ogos, serta 14,300 yen bagi China dan Taiwan, turun daripada 15,400 yen.
Surcaj bahan api ialah bayaran tambahan yang dikenakan ke atas tambang penerbangan berdasarkan turun naik kos bahan api.
Susulan pemeteraian perjanjian damai awal oleh Amerika Syarikat dan Iran pada pertengahan Jun bagi menamatkan perang mereka, harga bahan api pada Jun dan Julai yang menjadi asas penetapan surcaj bagi tiket yang dikeluarkan pada September dan Oktober, menurun.
Bagaimanapun, prospek surcaj bahan api bagi tempoh lewat tahun ini masih tidak menentu berikutan rundingan Amerika Syarikat-Iran untuk menamatkan perang kini terhenti.
-- BERNAMA-KYODO