DUNIA
Hasrat Pakistan jadi rakan dialog ASEAN akan dibincang - Anwar

Anwar bercakap kepada pemberita selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra, di sini hari ini. - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA: Hasrat Pakistan untuk menjadi rakan dialog penuh ASEAN akan dibawa ke perbincangan bersama ketua-ketua negara serantau, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan hasrat Pakistan untuk menjadi rakan dialog penuh ASEAN akan dibincangkan bersama ketua-ketua negara ASEAN dalam persidangan akan datang.
- Pakistan memperbaharui usaha tersebut sebagai komitmen memperkukuh kerjasama serantau, dan Malaysia sebelum ini menyatakan sokongan penuh terhadap permohonan itu.
- Mengenai ketegangan India-Pakistan, Anwar menegaskan Malaysia tidak memainkan peranan rasmi, tetapi hanya menyuarakan pandangan agar penyelesaian damai dicapai.
Semalam, Pesuruhjaya Tinggi Pakistan Syed Ahsan Raza Shah dilaporkan berkata negaranya memperbaharui usaha untuk menjadi rakan dialog penuh ASEAN, sebagai komitmen Islamabad untuk memperkukuh kerjasama serantau dan penglibatan dengan blok itu.
Pakistan, yang merupakan rakan dialog sektoral pertama ASEAN sejak 1993, telah lama menghargai kerjasama dengan blok serantau itu dan berhasrat memperluas lagi kerjasama sedia ada.
Pada Oktober lepas, Anwar dipetik berkata Malaysia memberikan sokongan penuh terhadap usaha Pakistan menjadi rakan dialog penuh ASEAN.
Sementara itu, mengenai Pakistan yang mengalu-alukan tawaran Anwar untuk menjadi pengantara dalam ketegangan antara India dan Pakistan, beliau berkata Malaysia cuma mengharapkan penyelesaian damai sahaja.
"Saya tak ada peranan apa-apa, cuma berikan pandangan sahaja," kata beliau.
Terdahulu, Anwar bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menunaikan solat sunat Aidiladha bersama hampir 15,000 jemaah di Masjid Putra, di sini.
Anwar yang lengkap berbaju Melayu berwarna biru cair tiba pada 7.50 pagi, disambut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.
Perdana Menteri turut menyertai takbir raya bersama para jemaah, sebelum menunaikan solat yang dipimpin Imam Besar Masjid Putra Muhamad Zakuwa Rodzali.
Beliau seterusnya mendengar khutbah Aidiladha bertajuk "Korban dan Semangat Kebersamaan" yang antara lain menekankan kepentingan niat, adab dan keikhlasan dalam melaksanakan ibadah korban.
Sebelum beredar, Anwar meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan para jemaah yang hadir.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami