LONDON: Lapangan Terbang Heathrow di London memberi amaran bahawa jumlah penumpangnya bagi baki tahun ini dijangka terjejas akibat situasi di Asia Barat.
Seramai 18.9 juta penumpang melalui keempat-empat terminalnya sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.
Advertisement
Jumlah itu merupakan peningkatan 3.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, yang menurut lapangan terbang di barat London itu disebabkan ia “menampung permintaan dari lokasi lain buat sementara waktu.”
Kira-kira setengah juta penumpang sehari lazimnya menggunakan lapangan terbang di Dubai, Doha atau Abu Dhabi, yang merupakan hab penting bagi perjalanan antara Eropah serta benua Asia dan Australia.
Penutupan ruang udara susulan tercetusnya perang di Asia Barat pada 28 Feb memberi kesan besar terhadap perjalanan udara.
Sebahagian besar ruang udara di rantau itu kini dibuka semula, namun ramai masih mengelak untuk terbang ke sana disebabkan konflik itu.
Dalam kemas kini dagangan, Heathrow menyatakan: “Walaupun Heathrow sementara waktu menampung permintaan dari lokasi lain, jumlah penumpang bagi baki tahun ini berkemungkinan terjejas selagi ketidaktentuan ketara berterusan di Asia Barat.”
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Heathrow, Sally Ding berkata lapangan terbang itu bersedia untuk meneruskan rancangan pembinaan landasan ketiga “dengan adanya rangka kerja peraturan dan dasar kerajaan yang sesuai”.
Beliau berkata Heathrow kini “penuh”, yang bermaksud “pilihan yang lebih terhad dan tambang yang lebih tinggi untuk penumpang, serta kehilangan peluang bagi ekonomi UK”.
Hasil suku pertama Heathrow meningkat 2.3 peratus berbanding tahun lepas kepada £844 juta (US$1.14 bilion), didorong oleh peningkatan jumlah penumpang, jualan makanan dan minuman serta penggunaan perkhidmatan premium.
Kos operasi diselaraskan bagaimanapun meningkat 6.5 peratus, didorong oleh kenaikan gaji dan bayaran insurans nasional, pelaburan teknologi maklumat serta pertambahan jumlah penumpang yang memerlukan bantuan.
-- BERNAMA-PA Media/dpa