Skip to main content

Dunia

Piala Dunia 2026: Belgium tiada pilihan, wajibkan kalahkan Iran selepas seri dengan Mesir - Garcia

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Group G - Belgium v Egypt - Seattle Stadium, Seattle, Washington, U.S. - June 15, 2026 Belgium coach Rudi Garcia, Youri Tielemans and Kevin De Bruyne react after the match REUTERS/Agustin Marcarian
Garcia (kiri) gesa skuad bimbingannya memperbaiki prestasi dalam perlawanan seterusnya. - Gambar Reuters

SEATTLE, AMERIKA SYARIKAT: Belgium kecewa selepas sekadar seri 1-1 dengan Mesir dalam aksi pembukaan Kumpulan G Piala Dunia pada Isnin, kata jurulatih Rudi Garcia yang menggesa pasukannya memperbaiki prestasi dalam perlawanan seterusnya.

Belgium “mesti menang menentang Iran” dalam aksi berikutnya pada Ahad, kata pengendali itu, ketika mereka memburu slot ke peringkat kalah mati buat kali pertama sejak 2018.

“Tiada pilihan lain,” tegasnya.

Mesir memulakan permainan dengan cemerlang apabila mendahului 1-0 pada minit ke-18 menerusi rembatan hebat pemain tengah, Emam Ashour - jaringan antarabangsa pertamanya.

“Kami sepatutnya tampil lebih baik sebagai satu pasukan pada separuh masa pertama,” kata Garcia.

Belgium menyamakan kedudukan pada minit ke-66 selepas pemain pertahanan Mesir, Mohamed Hany, tertampan bola lintang ke gawang sendiri ketika diasak penyerang Romelu Lukaku yang baru dimasukkan sebagai pemain gantian.

“Saya gembira untuknya. Sebagai pihak lawan, apabila melihat Lukaku masuk ke padang, pasti timbul rasa gerun dan kebimbangan,” tambah Garcia.

Bagaimanapun, Garcia menjelaskan penyerang itu masih belum bersedia untuk memulakan perlawanan selepas hanya beraksi secara terhad musim lalu bersama kelab Serie A, Napoli.

Dalam perkembangan sama, Jeremy Doku dikeluarkan pada minit ke-86 dan digantikan oleh pemain tengah Matias Fernandez-Pardo selepas mengalami masalah pernafasan.

“Dia ada sedikit gangguan. Dia mengalami masalah pernafasan. Keadaannya semakin baik, tetapi saya fikir dia perlu dikeluarkan supaya masih mempunyai tenaga untuk perlawanan seterusnya,” jelas Garcia.

Iran dijadual berdepan New Zealand dalam satu lagi aksi Kumpulan G pada lewat Isnin. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement