Reuters: Raja Britain, Raja Charles III pada Sabtu meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada rakyat Britain atas keperhatian mereka setelah disahkan menghidap kanser.

Ini merupakan komen pertamanya setelah Istana Buckingham mengumumkan baginda terpaksa menangguhkan urusan rasmi bagi menjalani rawatan.

"Beta ingin mengucapkan terima kasih yang paling tulus kepada semua mesej sokongan dan ucapan yang diterima dalam beberapa hari ini," kata Charles dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Istana Buckingham telah mengesahkan bahawa Charles, 75, sah didiagnosis dengan kanser, 18 bulan selepas menaiki takhta.

Spekulasi mengenai kesihatan baginda itu akhirnya berakhir apabila Charles menghabiskan tiga malam di hospital bulan lalu di mana baginda menjalani prosedur pemulihan bagi ketumbuhan prostat tidak bahaya.

Tiada butiran lanjut diberikan oleh Istana Buckingham tentang keadaan baginda tetapi memberi gambaran bahawa raja itu tetap ‘sangat positif’ dan berharap untuk kembali ke tugas awam secepat mungkin.

Orang ramai turut memuji Charles atas sikap keterbukaannya tentang keadaan prostatnya kerana ia sekaligus memberi kesedaran kepada orang awam untuk tampil dengan gejala yang serupa.

“Golongan yang terkesan dengan penyakit kanser ini tahu bahawa kata-kata yang baik merupakan dorongan yang sangat besar,” kata Charles.

Ketua negara itu turut menyatakan kegembiraannya apabila mendapat tahu bahawa diagnosisnya itu telah sedikit sebanyak membantu menerangi kesedaran terutamanya kepada organisasi yang mendokong pesakit kanser di Britain dan juga tempat lain.

Isteri Charles iaitu Ratu Camilia turut berkata bahawa Charles ‘berada dalam keadaan yang baik’.

Selain Charles, isteri Putera William, iaitu Kate Middleton turut dilaporkan masih dalam pemulihan usai pembedahan perut.

Akibat kekurangan wakil dalam monarki untuk mengalas urusan rasmi negara itu, kini tinggal William dan Camilia untuk menjadi wajah awam monarki buat sementara waktu.