Presiden Perancis Francois Hollande memberi amaran kepada Perdana Menteri Britain, David Cameron supaya tidak menyuarakan permintaan keterlaluan berhubung belanjawan pada persidangan Kesatuan Eropah (EU) minggu ini.

Menurut Hollande, ini lebih-lebih lagi apabila Britain sendiri tidak mahu berkompromi di dalam menangani krisis di Eropah ketika ini.

Amaran tersebut dikeluarkan selepas persidangan EU pada November lalu gagal mencapai sebarang kata sepakat akibat bantahan kuat dari Cameron.

Hollande pada masa sama turut menyelar tindakan Cameron yang mahu menilai semula keanggotannya di dalam EU selain sering mempersoalkan dasar asas EU.

Menurut Hollande, belanjawan EU kali ini melibatkan peruntukan sebanyak €1 trilion (RM4.2 trilion).

Jelas beliau,meskipun belanjawan kali ini masih melibatkan usaha kesederhanaan namun peruntukkan berkait inovasi dan berkait dengan kepentingan bersama seperti pertanian tidak boleh dikompromi.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa ekonomi utama EU mungkin mahu mengmabil pendekatan secara bersendirian dan menangani isu spesifik.

Namun tegas Hollande, ini tidak bermakna standard sedia ada EU boleh dipandang ringan.