Mahkamah di Mesir membebaskan bekas presiden Hosni Mubarak yang digulingkan oleh rakyat daripada tuduhan membunuh penunjuk perasaan semasa kebangkitan rakyat pada 2011 yang menamatkan pemerintahannya selama tiga dekad.

Mahkamah juga membebaskan Hosni daripada tuduhan rasuah. Beliau bagaimanapun akan kekal di penjara kerana sedang menjalani hukuman tiga tahun penjara atas satu tuduhan rasuah yang lain.

Tujuh pegawai keselamatan termasuk bekas Menteri Dalam Negeri, Habib al-Adly turut bebas daripada pertuduhan sama menyebabkan kematian para penunjuk perasaan.

Keputusan itu disambut sorak-sorai di mahkamah. Dua anak lelaki dan tertuduh lain kemudian mencium dahi Hosni apabila keputusan itu dibacakan oleh hakim.

Hosni terbaring di atas katil pengusung dalam kandang mahkamah.

Keputusan itu dibuat selepas kes berkenaan dibicarakan semula setelah mahkamah rayuan membatalkan hukuman penjara seumur hidup yang dijatuhkan pada 2012 atas alasan teknikal.

Peguam Hosni, Farid al-Deeb memberitahu AFP bahawa keputusan itu "membuktikan integriti era (presiden itu)".

Pihak berkuasa sebelum itu mengerahkan 5,000 anggota polis untuk meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar bangunan mahkamah, lapor agensi berita MENA yang memetik kenyataan seorang pegawai kanan.

Mubarak, 86, dituduh bersama tujuh bekas komander polisnya atas tuduhan membunuh beratus-ratus penunjuk perasaan semasa protes rakyat pada 2011.

Sekurang-kurangnya 1,400 orang terbunuh dalam protes itu termasuk sejumlah anggota tentera dan polis.

Dalam pembelaannya, tertuduh berhujah serangan ke atas penunjuk perasaan itu dilakukan oleh Ikhwanul Muslimin dan pelampau dari Palestin bertujuan untuk memburuk-burukkan polis.