BEIJING: Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif menyatakan rundingan damai bagi menamatkan konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran kini berada di landasan positif, dengan beberapa kemajuan dicapai.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan bersama pemimpin tertinggi China, di sini, hari ini, lapor Al Jazeera.
Menurut Sharif, dunia kini sedang melalui fasa kritikal dalam usaha mencapai kestabilan.
“Banyak perkara kini bergerak ke arah yang tepat. Kami turut menghargai sokongan China dalam usaha mempromosikan keamanan,” katanya.
Beliau turut diiringi Panglima Tentera Pakistan, Field Marshal Asim Munir.
Kehadiran Munir dalam delegasi itu menarik perhatian kerana beliau merupakan antara tokoh utama dalam usaha diplomatik Pakistan berkaitan konflik tersebut.
Munir sebelum ini mengadakan lawatan ke Tehran bagi membincangkan draf memorandum persefahaman damai.
Sharif menegaskan Pakistan berperanan sebagai pihak berkecuali dalam merapatkan perbezaan antara Washington dan Tehran.
Usaha pengantaraan itu turut mendapat pujian Presiden China Xi Jinping, yang menyifatkan peranan Pakistan sebagai konstruktif dalam meredakan ketegangan di Asia Barat.
Kerjasama antara Pakistan dan China dilihat penting berikutan kedua-dua negara terkesan oleh ketidaktentuan ekonomi global, termasuk gangguan di laluan maritim strategik Selat Hormuz.
Sebelum ini, Pakistan menganjurkan rundingan antara pegawai kanan AS dan Iran di Islamabad pada April lalu.
Walaupun perbincangan tersebut belum mencapai persetujuan muktamad, rundingan susulan sedang diusahakan bagi memastikan gencatan sementara dapat diteruskan.