NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat mengenai situasi di Yaman susulan penawanan bandar pelabuhan strategik Mocha oleh kumpulan Houthi, perkembangan yang dilihat berpotensi mengubah keseimbangan konflik yang berlarutan di negara itu.
Kejayaan Houthi menguasai Mocha pada Khamis berlaku selepas serangan besar-besaran yang menyasarkan kedudukan pasukan kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi di pesisir Laut Merah.
Perkembangan itu turut mencetuskan gelombang perpindahan penduduk, dengan ratusan wanita dan kanak-kanak meninggalkan bandar berkenaan untuk mendapatkan perlindungan di wilayah Lahij dan Aden yang masih berada di bawah kawalan kerajaan.
Menurut laporan media tempatan, lebih 20,000 penduduk telah dipindahkan akibat pertempuran yang memuncak di wilayah Taiz dan Hodeidah sepanjang dua minggu lalu.
Penganalisis dan pemerhati konflik berkata antara faktor utama yang membawa kepada kejatuhan Mocha ialah pengunduran Pasukan Penentangan Nasional (National Resistance Forces), yang merupakan sebahagian daripada pakatan anti-Houthi pimpinan kerajaan Yaman.
Editor hal ehwal Yaman Al Jazeera, Ahmed al-Shalafi, berkata Houthi melancarkan serangan dari tiga arah sejak 3 September, termasuk dari Taiz, selatan Hodeidah dan bandar Mocha sendiri, sekali gus memberi tekanan besar kepada barisan pertahanan kerajaan.
Beliau berkata pengunduran pasukan yang dipimpin Tareq Saleh itu membuka ruang kepada kemaraan Houthi ke dalam bandar berkenaan, walaupun punca sebenar langkah berkenaan masih tidak jelas.
Sementara itu, wartawan Al Jazeera di Taiz, Maha Ali, melaporkan pengunduran tersebut dilakukan sebagai langkah taktikal bagi menyusun semula kedudukan pasukan dan mewujudkan pusat arahan alternatif.
Pertempuran turut merebak ke beberapa lokasi strategik lain, termasuk pulau-pulau di Laut Merah dan kawasan sekitar Marib, ketika kedua-dua pihak meningkatkan operasi ketenteraan masing-masing.
Mocha mempunyai kepentingan strategik kerana terletak kira-kira 75 kilometer dari Selat Bab el-Mandeb, laluan perkapalan penting yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden serta menjadi antara laluan utama perdagangan dan penghantaran minyak dunia.
Pemerhati keselamatan memberi amaran bahawa penguasaan Houthi ke atas bandar itu boleh meningkatkan pengaruh kumpulan berkenaan berhampiran selat strategik tersebut serta menjejaskan laluan bekalan kepada pasukan kerajaan Yaman.
Dalam perkembangan berkaitan, Houthi mendakwa Arab Saudi melancarkan kira-kira 40 serangan udara baharu sebagai tindak balas terhadap serangan yang menyasarkan kemudahan minyak dan infrastruktur awam jauh di dalam wilayah kerajaan itu.
Kerajaan Britain pula menggesa Houthi menghentikan serangan dan tindakan yang boleh memburukkan lagi konflik, sambil menyatakan kebimbangan terhadap kesan kemanusiaan dan keselamatan serantau susulan perkembangan terkini di Yaman.