Skip to main content

Malaysia

Malaysia kini dipandang baik pada peringkat antarabangsa - PM Anwar

Anwar bercakap pada Majlis Pesta Melaka Rumah Kita bagi kempen Pilihan Raya Negeri Melaka Ke-16 di Taman Melaka Perdana, Melaka, malam tadi. --fotoBERNAMA
Anwar bercakap pada Majlis Pesta Melaka Rumah Kita bagi kempen Pilihan Raya Negeri Melaka Ke-16 di Taman Melaka Perdana, Melaka, malam tadi. --fotoBERNAMA

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Malaysia kini mendapat penghormatan dan perhatian positif di peringkat antarabangsa.
  • Anwar menegaskan penghormatan tersebut diberikan kepada Malaysia sebagai negara, bukan kepada individu atau parti politik tertentu.
  • Kerajaan memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat pelbagai golongan dan menasihatkan calon PH PRN Melaka ke-16 agar utamakan khidmat kepada rakyat.
Advertisement

ALOR GAJAH: Malaysia kini mendapat penghormatan dan dipandang positif oleh masyarakat antarabangsa, susulan kedudukan serta peranan negara yang semakin mendapat perhatian di pentas global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata penghormatan itu bukan diberikan kepada dirinya, barisan menteri atau wakil parti politik tertentu, sebaliknya kepada Malaysia sebagai sebuah negara.

“Hal ini bukan soal Anwar, bukan menteri-menteri kita atau wakil-wakil parti, tetapi hormat orang kepada Malaysia sekarang cukup baik, alhamdulillah,” kata beliau ketika berucap pada Pesta Melaka Rumah Kita bersempena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 di Taman Melaka Perdana, di sini malam tadi.

Advertisement

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata penghormatan tersebut dicerminkan menerusi jadual lawatan rasmi pemimpin luar ke Malaysia dan mesyuarat antarabangsa padat yang akan dihadirinya dalam tempoh terdekat termasuk Sidang Kemuncak ASEAN di Manila, Filipina.

“Lepas dua hari, balik (semula ke Malaysia) kerana Presiden Perancis Emmanuel Macron datang ke Kuala Lumpur … kemudian sambung semula ke Manila untuk pertemuan pemimpin ASEAN termasuk dengan (Presiden Amerika Syarikat) Donald Trump,” kata beliau.

Advertisement

Anwar berkata beliau kemudiannya turut dijadualkan menghadiri mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Shenzhen, China, yang turut melibatkan pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping.

Sementara itu, Anwar berkata keutamaan beliau adalah untuk memastikan negara kembali ke landasan terbaik dengan mengutamakan khidmat kepada rakyat serta memastikan tiada golongan yang tercicir daripada pembangunan.

Perdana Menteri turut mengingatkan golongan muda supaya tidak terpengaruh dengan sentimen kebencian terhadap parti tertentu sehingga mengabaikan prinsip dan kepentingan rakyat.

“Saya datang (berkempen hari ini) untuk sampaikan mesej kita bahawa negara ini mesti kembali kepada landasan yang baik. Saya harap anak-anak muda, terutamanya, kerana saya banyak dengar golongan muda seolah-olah mahu menyelamatkan Melayu kerana benci DAP,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata Kerajaan Persekutuan yang turut melibatkan DAP sentiasa berusaha memastikan keperluan pelbagai golongan termasuk warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), ibu yang baru bersalin dan kanak-kanak mendapat perhatian dalam perancangan serta perbelanjaan negara.

Beliau berkata kerajaan juga memberikan perhatian kepada kebajikan anggota keselamatan, termasuk usaha menambah baik kemudahan perumahan polis, guru dan tentera yang menurutnya, diberi perhatian lebih bersungguh-sungguh sejak beberapa tahun lepas.

Memberi contoh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Anwar berkata bekas Menteri Pengangkutan itu membuktikan komitmen membantu rakyat menerusi pelbagai inisiatif untuk pemandu teksi yang majoritinya terdiri daripada kaum Melayu.

Perdana Menteri berkata usaha membantu golongan itu mencerminkan bahawa khidmat kerajaan tidak seharusnya dinilai berdasarkan kaum atau parti politik seseorang menteri.

Dalam pada itu, Anwar mengingatkan calon PH yang bertanding pada PRN Melaka ke-16 supaya menjalankan tanggungjawab dengan ikhlas, tidak sombong dan sentiasa mengutamakan khidmat kepada rakyat sekiranya diberikan mandat.

“Kita percaya keupayaan mereka (calon-calon PH bagi PRN Melaka ke-16), tetapi kita akan tetap pantau mereka,” kata beliau.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN Melaka ke-16 pada Sabtu ini.

Dapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16 menerusi https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement