JOHOR BAHRU: Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) menerusi kerjasama strategik bersama Yayasan Siti Sapura Husin menyumbang 2,000 set kerusi dan meja kepada enam Sekolah Agama Kerajaan Johor bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Siti Sapura Husin Syed Hussain Syed Junid berkata pemilihan YSIJ sebagai rakan kolaborasi di negeri berkenaan didorong oleh rekod cemerlang dan keaktifan yayasan diraja itu dalam menyantuni kebajikan rakyat Johor secara menyeluruh.
“Kebersamaan fokus antara Yayasan Siti Sapura Husin dan YSIJ menjadi faktor utama kerjasama terjalin antara dua yayasan ini. Kedua-dua pihak memberikan penekanan sama terhadap teras utama, iaitu pemerkasaan pendidikan, pembelaan golongan asnaf serta bantuan perubatan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam.
Terdahulu, majlis penyerahan sumbangan berkenaan disempurnakan oleh Pengurus Kanan YSIJ Shah Reza Md Kanafe kepada Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Anuar Abd Manap di Sekolah Agama Kebun Teh di sini semalam.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan yang menjalankan tugas Timbalan Pengarah Pendidikan Agama Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Ahmad Hesamuddin Mohd Tahir serta pengetua daripada enam sekolah agama yang menerima manfaat berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, YSIJ turut memperluas capaian kebajikannya dengan menyantuni warga pendidik dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki di Johor Bahru.
Menerusi inisiatif berkenaan, Shah Reza menyerahkan sumbangan kelengkapan asas bagi kemudahan bilik kesihatan sekolah terbabit kepada pengetuanya Hairuniza Mohsin.
YSIJ adalah yayasan kebajikan rasmi yang diasaskan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi menyalurkan pelbagai bantuan berimpak tinggi merangkumi aspek pendidikan, kesihatan, kebajikan masyarakat serta bantuan bencana kepada Bangsa Johor tanpa mengira kaum dan agama.
-- BERNAMA