Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil, di sini, hari ini, dijangka menghimpunkan lebih 15,000 warga kerja sektor awam dan swasta dari seluruh negara.
Majlis tahunan yang disambut setiap 1 Mei itu menjadi platform menghargai sumbangan besar tenaga kerja negara, selain memperkukuh ekosistem kerjaya menerusi penawaran peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran.
Advertisement
Bertemakan ‘Pekerja MADANI Kesuma Bangsa’, sambutan tersebut akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dijadual menyampaikan amanat khas kepada para pekerja.
Beliau juga akan menyampaikan Anugerah Hari Pekerja 2026 bagi 14 kategori merangkumi Tokoh Pekerja, Majikan, Kesatuan Sekerja, Media dan Kontinjen Terbaik, dengan setiap penerima membawa pulang wang tunai RM10,000 bersama plak penghargaan.
Turut dijangka hadir ialah Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R.Ramanan.
Sempena sambutan itu, Karnival Hari Pekerja 2026 turut berlangsung bermula hari ini hingga esok dengan sasaran kehadiran kira-kira 30,000 pengunjung.
Karnival tersebut memberi fokus kepada keperluan rakyat merentasi keseluruhan ekosistem kerjaya termasuk peringkat permulaan kerjaya, pekerja sedia ada, kemajuan kerjaya melalui peningkatan kemahiran serta kesejahteraan rakyat menerusi akses kepada pelbagai perkhidmatan sokongan.
Antara tarikan utama ialah Karnival Kerjaya anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menawarkan 4,000 kekosongan jawatan menerusi platform MYFutureJobs dengan julat gaji antara RM2,500 hingga RM16,000.
Selain sesi temu duga terus bersama majikan, karnival itu menyediakan khidmat bimbingan kerjaya serta penyertaan lebih 50 pempamer daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang menawarkan perkhidmatan terus kepada rakyat.
Turut memeriahkan sambutan ialah Jualan Rahmah, Jualan Agro MADANI, pemeriksaan kesihatan, derma darah, kaunter Jabatan Pendaftaran Negara serta pameran teknologi industri.
Selain itu, pelbagai khidmat nasihat berkaitan perburuhan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta peluang latihan teknikal dan vokasional (TVET) turut disediakan kepada pengunjung.
-- BERNAMA