VANCOUVER: Presiden Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA), Jibril Rajoub menolak untuk dirakam gambar bersama Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Israel, Basim Sheikh Suliman dalam satu acara yang berlangsung di sini, atas permintaan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, pada Khamis.
Kedua-dua wakil itu dipanggil ke pentas oleh Infantino, namun Rajoub enggan memenuhi isyarat Infantino untuk mendekatinya sebagai tanda kebersamaan.
Advertisement
Menurut Naib Presiden PFA, Susan Shalabi yang berada di dalam dewan ketika kejadian, Rajoub menyatakan penolakannya secara terbuka.
“Saya tidak boleh berjabat tangan dengan seseorang yang dibawa oleh pihak Israel untuk memutihkan fasisme dan genosid mereka. Kami sedang menderita,” katanya kepada agensi berita Reuters.
Israel sebelum ini menafikan dakwaan melakukan genosid di Gaza.
Infantino kemudiannya tampil ke pentas dan berkata, FIFA akan terus berusaha menyatukan semua pihak.
“Kita akan bekerjasama, Presiden Rajoub dan Naib Presiden Suliman. Mari kita bekerjasama untuk memberi harapan kepada kanak-kanak. Ini adalah perkara yang kompleks,” katanya.
Selepas Kongres berakhir, Shalabi berkata, cubaan Infantino untuk menemukan kedua-dua wakil itu menunjukkan kurangnya pertimbangan terhadap ucapan Rajoub, yang antara lain menggesa agar kelab Israel tidak dibenarkan beroperasi di penempatan haram di Tebing Barat.
“Meletakkan beliau dalam situasi untuk berjabat tangan selepas apa yang telah disuarakan sebenarnya menafikan keseluruhan tujuan ucapan tersebut,” katanya.
PFA sebelum ini mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas FIFA memutuskan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Israel berhubung penglibatan kelab yang berpangkalan di penempatan Tebing Barat. - Agensi