BEIJING: Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) Janet Yellen menggesa agar hubungan antara kuasa besar Amerika Syarikat dan China dipertingkatkan bagi menangani perubahan iklim dan ancaman global lain, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Perubahan iklim berada di bahagian atas senarai cabaran global, dan AS dan China mesti bekerjasama untuk menangani ancaman ini," kata Yellen semasa lawatannya ke Beijing pada Sabtu.

Pada masa yang sama, Yellen menyeru agar China meningkatkan pembiayaan untuk memerangi perubahan iklim dan menyokong instrumen sedia ada seperti dana pelaburan iklim.

Yellen berkata bahawa prospek ekonomi global yang rumit memerlukan lebih banyak kerjasama antara dua ekonomi terbesar dunia itu.

Perselisihan faham antara AS dan China tidak seharusnya mewujudkan salah faham yang boleh menjejaskan hubungan ekonomi antara negara, kata Yellen.

Yellen menyokong "persaingan ekonomi yang sihat" dan menjelaskan bahawa AS akan terus mengambil tindakan untuk melindungi keselamatan negara.

Beliau mengadakan lawatan kerja ke China selama empat hari. Setiausaha Negara AS Antony Blinken juga melawat China pada Mei.

Hubungan antara kedua-dua kuasa dunia itu tegang akibat konflik dalam pelbagai isu, termasuk perang Ukraine, dasar perdagangan AS dan pertikaian wilayah di Laut China Selatan.

--BERNAMA-dpa