Skip to main content

Dunia

ASEAN kekalkan perwakilan bukan politik Myanmar di sidang kemuncak

ASEAN memutuskan untuk mengekalkan perwakilan bukan politik Myanmar pada Sidang Kemuncak ASEAN dan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN sehingga negara itu menunjukkan kemajuan bermakna dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC). - Foto REUTERS
ASEAN memutuskan untuk mengekalkan perwakilan bukan politik Myanmar pada Sidang Kemuncak ASEAN dan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN sehingga negara itu menunjukkan kemajuan bermakna dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC). - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • ASEAN mengekalkan perwakilan bukan politik Myanmar pada sidang kemuncak sehingga terdapat kemajuan bermakna dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara.
  • ASEAN menegaskan keperluan pelaksanaan menyeluruh Konsensus Lima Perkara dan menggesa semua pihak menghentikan keganasan serta memudahkan bantuan kemanusiaan.
  • ASEAN akan terus menilai pelaksanaan keputusan ini, memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa, serta memantau isu jenayah rentas sempadan berkaitan Myanmar.
Advertisement

MANILA: ASEAN memutuskan untuk mengekalkan perwakilan bukan politik Myanmar pada Sidang Kemuncak ASEAN dan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN sehingga negara itu menunjukkan kemajuan bermakna dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC).

Keputusan itu antara perkara utama yang dipersetujui pemimpin ASEAN menerusi ASEAN Leaders’ Review and Decision on the Implementation of the Five-Point Consensus yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 di sini, pada Ahad.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, ASEAN turut membuka ruang untuk mempertimbangkan pemulihan secara berperingkat perwakilan politik penuh Myanmar, tertakluk kepada kemajuan yang berterusan dan konkrit dalam pelaksanaan 5PC.

Advertisement

“Myanmar dalam badan dan mekanisme menteri sektor lain di bawah ASEAN tidak akan dikenakan sekatan dan boleh diteruskan pada semua peringkat,” kata kenyataan itu.

ASEAN turut menegaskan krisis Myanmar tidak seharusnya menjejaskan usaha pembinaan Komuniti ASEAN serta proses membuat keputusan blok serantau itu.

Advertisement

Dalam perkembangan berkaitan, ASEAN menyatakan kebimbangan mendalam terhadap kemajuan yang masih tidak mencukupi dalam pelaksanaan 5PC, meskipun terdapat perkembangan terhad dalam penyampaian bantuan kemanusiaan menerusi Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre).

Sehubungan itu, ASEAN sekali lagi menegaskan 5PC kekal sebagai rujukan utama dalam menangani krisis Myanmar, selain menggesa pelaksanaannya secara menyeluruh bagi mencapai penyelesaian yang inklusif, berkekalan dan aman, dipimpin serta dimiliki rakyat Myanmar sendiri.

Pemimpin ASEAN turut menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik, khususnya angkatan tentera, pasukan keselamatan dan kumpulan bersenjata, supaya meredakan ketegangan serta menghentikan keganasan dan serangan yang menyasarkan orang awam serta infrastruktur awam.

ASEAN turut menyeru supaya keganasan dihentikan dan gencatan senjata dilaksanakan secara berterusan di seluruh negara bagi mewujudkan keadaan yang membolehkan usaha bantuan kemanusiaan dan dialog politik inklusif diteruskan.

Mengenai bantuan kemanusiaan, ASEAN bersetuju memperkukuh penyampaian bantuan secara selamat, berkesan dan telus berdasarkan Penilaian Keperluan Bersama (Joint Needs Assessment), termasuk kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik.

Myanmar turut digesa memudahkan penyaluran bantuan secara selamat, tepat pada masanya dan tanpa diskriminasi, termasuk memperluas akses kepada komuniti yang sebelum ini belum menerima bantuan.

ASEAN turut menggalakkan rakan luar meningkatkan sokongan kewangan bagi memperkukuh usaha bantuan kemanusiaan di negara itu.

Dokumen berkenaan turut memaklumkan misi AHA Centre memulakan usaha bantuan kemanusiaan selama sebulan yang menyasarkan lebih 11,000 isi rumah, termasuk di empat kawasan keutamaan baharu yang sebelum ini belum mendapat akses bantuan.

Dalam usaha meneruskan penyelesaian politik, ASEAN bersetuju supaya Utusan Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar meneruskan libat urus dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan.

“Menteri-Menteri Luar ASEAN juga akan meneruskan pendekatan libat urus secara konstruktif dan berprinsip, termasuk melalui perbincangan tidak rasmi, manakala negara anggota boleh mengadakan rundingan dengan pihak berkaitan selepas berunding dengan Pengerusi ASEAN,” jelasnya.

ASEAN turut meminta pegawai kanan meneruskan penelitian terhadap kemungkinan mewujudkan Utusan Khas ASEAN ke Myanmar untuk jangka panjang bagi memastikan kesinambungan usaha menangani krisis berkenaan.

“Selain itu, ASEAN akan memperkukuh kerjasama dengan rakan dialog, negara jiran dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyokong usaha menangani krisis Myanmar serta membanteras jenayah rentas sempadan,” ujar kenyataan itu.

Antara isu yang diberi perhatian termasuk pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah, perpindahan penduduk, ancaman siber dan penipuan dalam talian.

ASEAN akan terus menilai pelaksanaan keputusan berkenaan dalam mesyuarat akan datang, manakala Menteri-Menteri Luar ASEAN akan memantau perkembangannya dan melaporkan kepada Sidang Kemuncak ASEAN seterusnya.

Must Watch Video

Advertisement