ALOR SETAR: Seorang lelaki ditahan selepas menceroboh masuk ke kawasan Wisma Darul Aman di sini hari ini dengan membawa sebilah pisau bersamanya.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Syed Basri Syed Ali berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 8.10 pagi itu daripada pembantu keselamatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
“Lelaki berusia 45 tahun itu memasuki pintu masuk Wisma Darul Aman dengan menunggang motosikal dan tidak berhenti untuk pemeriksaan di hadapan pos pengawal keselamatan.
“Pengawal keselamatan mengejar dan menahannya untuk bertanyakan tujuan memasuki kawasan itu namun dia mengeluarkan sebilah pisau berukuran 15 sentimeter (cm) daripada poket seluarnya lalu menunjukkan ke arah pengawal keselamatan itu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata lelaki terbabit cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan sebelum pihak polis tiba di lokasi itu.
Syed Basri berkata ketika ditahan, lelaki itu didapati berada dalam keadaan khayal manakala hasil saringan urin yang dijalankan di Balai Polis Alor Setar mendapati dia positif terhadap dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Semakan mendapati lelaki itu tidak memiliki rekod jenayah lampau. Dia kini disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.
-- BERNAMA