MANILA: Pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen mencerminkan kesediaan kerajaan Madani melakukan reformasi institusi dengan mengembalikan autonomi pentadbiran Parlimen selepas lebih tiga dekad.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, reformasi berkenaan membawa perubahan besar dalam struktur pentadbiran apabila kuasa yang sebelum ini berada di bawah Perdana Menteri dan jentera kerajaan dipindahkan kepada Parlimen serta Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Beliau berkata, langkah itu bukan sesuatu yang mudah kerana tidak ramai pemimpin politik bersedia menyerahkan kuasa yang secara tradisinya berada di bawah eksekutif.
“Akta Perkhidmatan Parlimen bermaksud kuasa yang sebelum ini berada pada Perdana Menteri dan kerajaan diserahkan kepada Dewan.
“Tidak ramai pemimpin yang bersedia untuk memindahkan kuasa sedemikian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena lawatan kerja ke Filipina di Kedutaan Besar Malaysia di Filipina di sini, Ahad.
Anwar berkata, reformasi berkenaan sudah dibincangkan sejak tiga hingga empat dekad lalu, namun kerajaan terdahulu tidak bersedia menyerahkan kuasa pentadbiran yang berada di bawah eksekutif.
Menceritakan kesan perubahan itu secara berseloroh, beliau turut berkongsi pengalaman ketika membentangkan satu usul di Parlimen sebelum Yang Dipertua Dewan Rakyat mengucapkan terima kasih dan beliau perlu kembali ke tempat duduk tanpa berpeluang memberikan penjelasan lanjut.
Katanya, sebelum ini Perdana Menteri lazimnya membentangkan usul sebelum diberikan ruang untuk menghuraikan perkara berkenaan.
“Selepas saya membentangkan usul, Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, terima kasih. Jadi saya terpaksa duduk semula.
“Perdana Menteri tidak berpeluang menjelaskan apa-apa. Itulah kesan apabila lebih banyak kuasa diberikan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat,” katanya secara berseloroh.
Bagaimanapun, beliau berkata, kejadian itu bukan disengajakan, sebaliknya menggambarkan perubahan besar yang dibawa menerusi reformasi berkenaan.
Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 diluluskan Dewan Rakyat pada 5 Mac 2025 dan Dewan Negara pada 20 Mac tahun sama sebelum menerima perkenan diraja pada Julai.
Akta itu mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 2026, sekali gus mengembalikan autonomi pentadbiran Parlimen lebih tiga dekad selepas undang-undang asal yang diperkenalkan pada 1963 dimansuhkan pada 1992.