DUNIA
Hujan lebat lumpuhkan kehidupan harian di Mumbai

Jabatan Meteorologi India mengeluarkan amaran hujan lebat di bandar itu serta beberapa daerah pesisir di negeri barat Maharashtra. - AP
NEW DELHI: Hujan lebat melumpuhkan kehidupan harian di ibu kota kewangan India, Mumbai, pada Isnin sehingga memaksa penutupan sekolah dan menyebabkan kesesakan lalu lintas di jalan raya yang dinaiki air.
Jabatan Meteorologi India mengeluarkan amaran hujan lebat di bandar itu serta beberapa daerah pesisir di negeri barat Maharashtra.
Genang air dilaporkan di banyak kawasan bandar dan pinggirannya, manakala perkhidmatan kereta api serta bas turut terganggu, menyukarkan perjalanan penumpang.
Syarikat penerbangan meminta penumpang bergerak lebih awal daripada kebiasaan untuk ke lapangan terbang."Hujan di Mumbai masih berterusan, begitu juga kesesakan jalan raya. Trafik menuju ke lapangan terbang sangat perlahan di beberapa kawasan. Kami mengesyorkan orang ramai merancang perjalanan lebih awal dan menyemak status penerbangan sebelum keluar rumah," kata syarikat penerbangan IndiGo dalam hantaran di media sosial.
Polis turut menasihati penduduk Mumbai agar kekal berada di rumah berikutan banjir kilat dan jarak penglihatan yang terhad.
"Silalah elak perjalanan yang tidak penting, rancang perjalanan dengan teliti, dan keluar rumah hanya jika perlu," kata Pesuruhjaya Polis Mumbai Raya dalam satu hantaran di platform X.
Sekolah dan kolej di bandar raya itu turut ditutup.
Mumbai menerima taburan hujan sebanyak 177 milimeter dalam tempoh lapan jam, kata Ketua Menteri Maharashtra Devendra Fadnavis kepada media pada Isnin.
Pelbagai kawasan di Maharashtra mengalami hujan lebat sejak dua hari lepas, dan taburan hujan berterusan dijangka dalam tiga hari akan datang.
"Terdapat sama ada amaran jingga atau merah di separuh daripada daerah di Maharashtra," kata Fadnavis.
Beliau berkata tanaman seluas 400,000 hektar turut rosak.
Pasukan tentera dan agensi bencana menyelamatkan lebih 200 orang di Daerah Nanded, kira-kira 600 kilometer dari Mumbai, selepas berlaku hujan yang mencurah-curah di kawasan itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami