Walaupun sarat mengandung, ia bukan penghalang si ibu menghabiskan larian sejauh 10 kilometer (KM) sempena marathon Borobudur, pada Ahad.

Kristine Sitohang, 36, sedang mengandung lapan bulan dikatakan pencinta larian dan sememangnya menjadi rutin harian berlari sejauh tiga kilometer.

Meskipun dia bukan atlet tetapi dia menyukai aktiviti marathon kerana mengamalkan gaya hidup sihat.

"Persiapan awal, saya berjoging sejauh tiga kilometer setiap hari. Ia juga adalah persediaan untuk memudahkan saya bersalin.

"Saya bersyukur, kerana sepanjang larian, diri masih kuat termasuk juga bayi dalam kandungan baik sahaja," katanya sebelum larian dia telah membuat pemeriksaan lanjut di hospital.

Katanya telah berdoa agar dikurniakan kesihatan baik sepanjang larian dan bersyukur semuanya berjalan lancar.

Kristine juga mengakui menerima inspirasi dari rakan di Malaysia yang mampu berlari walaupun berbadan dua.

"Rakan dari Malaysia juga pernah berlari sejauh 100 kilometer dan ia sangat mengagumkan," katanya.

Difahamkan, cintanya kepada dunia larian sejak 2013 dan sering mengikuti marathon di seluruh daerah di Indonesia.

Kali terakhir pada April 2018 iaitu menjadi peserta Kejohanan Tambora 2018 di Sumbawa.

Bukan sahaja larian, dia turut meminati aktiviti lasak seperti mendaki gunung dan bukit dan berjaya mencipta kejayaan di puncak Gunung Andong di Magelang ketika hamil empat bulan.

Malah hobinya ini turut dilakukan bersama suaminya. - Kompas