Ibu kepada Zohran Mamdani rai kejayaan, sangkal jolokan 'nepo baby'

Hantaran Mira Nair di Instagram (kanan) meraikan kejayaan anaknya, Zohran Mamdani selepas dipilih sebagai Datuk Bandar New York baharu. - Gambar fail
IBU kepada Datuk Bandar baharu New York, Zohran Mamdani, 34 meraikan kemenangan anaknya menerusi satu hantaran di platform media sosial, Instagram.
Ringkasan AI
- Zohran Mamdani, anak kepada pengarah filem terkenal Mira Nair, memenangi jawatan Datuk Bandar New York.
- Mamdani menewaskan bekas gabenor Andrew Cuomo dan calon Republikan Curtis Sliwa dalam pemilihan, membuktikan keupayaannya tanpa bergantung kepada reputasi ibu bapanya.
- Dalam ucapan kemenangan, Mamdani berjanji menumpukan perhatian kepada isu-isu rakyat dan ekonomi bandar untuk memperbaiki keadaan New York.
Turut disertakan bersama hantaran adalah iringan lagu penyanyi rap, Jay-Z berjudul Empire State of Mind yang berkisarkan tentang realiti kehidupan, iaitu mengatasi rintangan sehingga akhirnya merangkul kemenangan.
Untuk rekod, Mira memberikan nyawa kepada filem Monsoon Wedding, Vanity Fair dan Salaam Bombay! - antara karya seni paling berpengaruh dalam sejarah layar perak moden di India mengenai kanak-kanak lelaki daif yang bergelut di jalanan Mumbai untuk meneruskan hidup.
Manakala, bapa Zohran, Mahmood Mamdani adalah seorang ahli sejarah ternama dalam jurusan antropologi.
Sebelum ini, Zohran selaku anak kelahiran Uganda sering dilabel sebagai 'nepo baby' yang merujuk kepada orang kenamaan yang mewarisi kejayaan dan reputasi daripada ibu bapanya.
Namun, jolokan itu ternyata meleset apabila dalam pemilihan Datuk Bandar New York, Zohran menewaskan bekas gabenor dan ahli Demokrat, Andrew Cuomo dan calon Republikan, Curtis Sliwa, satu kemenangan diraihnya sendiri tanpa bayangan ibu bapa beliau.
Dalam ucapan kemenangan di Brooklyn, Zohran yang juga datuk bandar Muslim pertama di New York berkata, beliau akan memberi tumpuan kepada isu-isu rakyat dan ekonomi yang semakin mencabar.
"Saya bangun pagi dengan satu tujuan iaitu menjadikan kota ini lebih baik daripada semalam," ujar Zohran bersemangat.
Zohran dalam ucapan kemenangan beliau turut memberi mesej jelas kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berhubung pendatang asing di New York.
"New York akan kekal sebagai sebuah bandar yang didiami pendatang asing, sebuah bandar yang dibina oleh pendatang asing, dikuasakan oleh pendatang asing dan malam ini, diketuai oleh seorang pendatang asing," ujar Zohran.
Zohran dijangka mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar NY pada 1 Januari, 2026.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


