ISTANBUL: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada Rabu menolak sekeras-kerasnya sekatan baharu Amerika Syarikat (AS) yang menyasarkan presiden mahkamah dan seorang peguam kanan di pejabat pendakwanya, menyifatkan langkah itu sebagai "serangan terang-terangan" terhadap kebebasan kehakiman, lapor Anadolu Ajansi.
Penamaan terkini menyasarkan Presiden ICC Tomoko Akane dari Jepun dan Abdoulaye Seye dari Senegal, seorang peguam perbicaraan kanan di Pejabat Pendakwa, menurut mahkamah itu yang berpangkalan di Hague itu dalam satu kenyataan.
Menurut ICC, sembilan daripada 18 hakimnya, kedua-dua timbalan pendakwa raya, seorang bekas pendakwa dan seorang kakitangan kini berada di bawah sekatan AS.
"Sekatan ini ialah serangan terang-terangan terhadap kebebasan institusi kehakiman yang tidak berat sebelah yang beroperasi menurut mandat yang diberikan oleh Negara-Negara Anggotanya dari pelbagai wilayah," menurut mahkamah itu.
Langkah berkenaan yang menyasarkan hakim, pendakwa raya dan kakitangan mahkamah lain untuk melaksanakan mandat ICC menjejaskan kedaulatan undang-undang dan meletakkan perintah undang-undang antarabangsa dalam risiko, tambahnya.
Mahkamah itu juga memberi amaran bahawa ancaman dan tindakan paksaan menjejaskan keupayaan mangsa untuk mendapatkan keadilan, terutamanya apabila mereka beralih kepada ICC selepas semua jalan lain buntu.
“Mahkamah akan terus melaksanakan sepenuhnya mandatnya dengan bebas dan saksama, mengikut sepenuhnya Statut Rom dan demi kepentingan mangsa jenayah antarabangsa,” katanya.
Ia turut mengalu-alukan ungkapan sokongan daripada negara anggota, organisasi masyarakat sivil dan pihak lain yang menyokong keadilan antarabangsa dan kedaulatan undang-undang.
-- BERNAMA-ANADOLU