Skip to main content

Dunia

Iceland tidak akan teruskan rundingan penyertaan EU - PM

Icelandic Prime Minister Kristrún Frostadóttir attends a news conference at Harpa Concert Hall in Reykjavik, Iceland, Sunday, Aug. 30, 2026. (AP Photo/Marco Di Marco)
Frostadottir berkata keputusan referendum akan dihormati dan tiada rundingan lanjut mengenai penyertaan akan diadakan sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan semasa. - Gambar fail/AP
Advertisement

REYKJAVIK (ICELAND): Perdana Menteri Iceland Kristrun Frostadottir pada Ahad berkata kerajaan semasa tidak akan meneruskan rundingan mengenai penyertaan negara itu ke Kesatuan Eropah (EU), selepas referendum pada Sabtu menyaksikan lebih ramai pengundi menolak rundingan berkenaan, lapor Xinhua.

Pada sidang media, beliau berkata keputusan referendum itu akan dihormati dan tiada rundingan lanjut mengenai penyertaan akan diadakan sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan semasa.

Keputusan pengundian yang disiarkan penyiar awam Iceland, RUV pada Ahad menunjukkan 52.8 peratus pengundi menolak rundingan itu, manakala 47.2 peratus menyokong.

Sebanyak 225,031 undi dicatatkan dengan peratusan keluar mengundi mencecah 82.5 peratus, lapor RUV.

Frostadottir berkata beliau telah bertukar mesej dengan Presiden Majlis Eropah Antonio Costa, sambil menambah bahawa EU menyedari masih terdapat hasrat untuk mengekalkan hubungan kukuh antara Iceland dan blok itu.

Iceland memohon keanggotaan EU pada 2009. Rundingan penyertaan digantung pada 2013 selepas sebuah kerajaan yang skeptikal terhadap EU mengambil alih pentadbiran.

Bagaimanapun, menurut dokumen Parlimen Iceland, Suruhanjaya Eropah berpendirian bahawa permohonan berkenaan tidak pernah ditarik balik secara rasmi.

Menteri Luar Iceland Thorgerdur Katrin Gunnarsdottir merancang mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Hal Ehwal Luar pada 31 Ogos bagi membincangkan “langkah seterusnya”.

Mesyuarat itu akan membincangkan sama ada permohonan keanggotaan berkenaan akan ditarik balik secara rasmi, lapor RUV.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement