Skip to main content

Malaysia

Motosikal taktikal ATEB perkukuh penugasan PGA di sempadan negara

Mohamad Suzrin (empat, kanan) bersama para pegawai ketika meninjau keadaan sempadan di pangkalan haram Jeram Perdah, Rantau Panjang, Pasir Mas, 22 Okt 2026. -- fotoBERNAMA
Mohamad Suzrin (empat, kanan) bersama para pegawai ketika meninjau keadaan sempadan di pangkalan haram Jeram Perdah, Rantau Panjang, Pasir Mas, 22 Okt 2026. -- fotoBERNAMA

Advertisement

PASIR MAS: Penggunaan motosikal taktikal elektrik jenis All Terrain Tactical Assault E-Bike (ATEB) membantu memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan sempadan negara oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) hingga 500 peratus.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PGA Bukit Aman Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata perolehan 375 unit ATEB oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah bagi meningkatkan mobiliti anggota, sekali gus mempercepat pergerakan dan tindakan ketika operasi.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 100 unit diperoleh menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Rolling Plan keempat bernilai RM2.3 juta, manakala tambahan 275 unit dirancang menerusi perolehan bagi kawalan sempadan.

“Bagaimanapun, 100 unit ATEB bagi fasa pertama masih belum diterima sepenuhnya oleh PDRM. Pengagihan kepada formasi dan unit PGA akan dilaksanakan selepas proses penerimaan oleh Pasukan Petugas Jabatan Logistik dan Teknologi PDRM bersama dengan PGA selesai.

“Pembekalan bagi tambahan 275 unit pula dijangka dilaksanakan pada 2027 selepas proses permulaan kontrak dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di pangkalan haram berhampiran Jeram Perdah, Rantau Panjang, di sini semalam.

Mohamad Suzrin berkata ATEB berpotensi meningkatkan keupayaan rondaan di laluan sempit, denai dan kawasan muka bumi tidak rata yang sukar dimasuki kenderaan biasa, selain membantu mempercepat tindak balas terhadap kegiatan penyeludupan, pemantauan pangkalan haram serta memeriksa kerosakan infrastruktur sempadan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement